Tue. Jul 8th, 2025

Ramadan dan Syawal tahun ini menjadi detik penuh bermakna buat Rocketfuel Entertainment apabila tiga lagu Raya terbitan mereka mencipta fenomena luar biasa dengan mencatat lebih 1.7 bilion tontonan dan strim secara kolektif di YouTube serta pelantar digital lain. Tiga lagu tersebut—“Meriah Lain Macam” nyanyian Hael Husaini dan Nadeera, “Nyam Nyam Ketupat” oleh Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy, serta “Dam Dim Dum Raya” oleh Nadeera—telah mengukuhkan lagi jenama Rocketfuel sebagai peneraju hiburan muzik tempatan sempena musim perayaan.

Mengangkat tema keriangan pasangan suami isteri membuat persiapan balik kampung, “Meriah Lain Macam” mencatat lebih 16 juta tontonan di YouTube dan menduduki tangga No.1 di Carta RIM (Lagu Melayu), Billboard Malaysia, YouTube Music Malaysia serta Brunei. Malah, lagu ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh ini terus tular apabila kekal trending nombor satu di YouTube selama 33 hari berturut-turut, menjadikannya antara lagu Raya paling berjaya dalam dekad ini.

Hael berkongsi rasa terharunya, “Niat kami hanya untuk kembalikan semangat Raya yang dirindui. Tapi apabila lagu ini jadi kegilaan ramai, saya betul-betul tersentuh. Terima kasih buat semua yang jadikan lagu ini sebagai lagu wajib Raya tahun ini.”

Lagu paling menceriakan Aidilfitri 2025 jatuh kepada “Nyam Nyam Ketupat” – satu gandingan penuh warna antara Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy. Dengan lebih 8 juta tontonan di YouTube, lagu ini turut menduduki tangga ketiga carta Most Streamed Malay Singles In Malaysia, membuktikan kekuatan melodi “cute” dan lirik yang bersahaja.

Menariknya, tarian khas lagu ini menjadi trend tular di TikTok, bahkan pemain badminton bertaraf dunia, Victor Axelsen turut menggunakannya dalam video latihan di Denmark. Wani Kayrie berkata, “Melihat lagu kami berjaya menghiburkan ramai dan sampai ke pentas antarabangsa memang satu kenangan manis untuk saya.”

Buat pertama kali tampil dengan lagu Raya secara solo, Nadeera membuktikan dirinya mampu berdiri sebaris dengan nama besar lain. Lagu “Dam Dim Dum Raya” yang mencatat lebih 800,000 tontonan di YouTube memperlihatkan sisi versatil penyanyi ini dalam menyampaikan semangat lebaran dengan gaya tersendiri.

Menurut Nadeera, “Ini adalah karya yang cukup dekat di hati saya. Walaupun bukan lagu paling besar dari segi angka, sokongan peminat benar-benar buat saya terharu. Ia jadi motivasi untuk saya terus berkarya.”

Melihat kejayaan luar biasa projek Raya 2025 ini, Rocketfuel Entertainment komited untuk terus menghasilkan lebih banyak karya bermutu tinggi. Pihak mereka menyatakan bahawa kejayaan ini bukan hanya tentang angka, tetapi juga tentang mencipta kenangan yang melekat dalam hati pendengar.

“Rocketfuel akan terus memberi kejutan dan membawa dimensi baharu kepada muzik tempatan,” kata jurucakap mereka. “Kami tidak akan berhenti di sini.”

Menambah keterujaan, Rocketfuel turut mengumumkan bahawa dua persembahan paling dinanti-nantikan dari pentas Anugerah Juara Lagu, iaitu “Bukan Lagi Kita” (Nadeera) dan “Diam” (Hael Husaini), akan dilancarkan dalam versi AJL rasmi di semua pelantar digital bermula 1 Mei 2025. Ini pastinya menjadi hadiah istimewa buat peminat yang tidak pernah jemu menyokong.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *