Astro mempersembahkan Big Stage Alpha, edisi terbaharu yang membawakan pembaharuan kepada format asal siri realiti Big Stage dengan memperkenalkan konsep pertandingan all-male idol survival show. Buat pertama kalinya, program ini menghimpunkan 18 peserta lelaki yang akan bersaing untuk membentuk kumpulan lelaki pertama di bawah naungan Astro melalui proses pemarkahan juri dan undian peminat.
Big Stage Alpha akan mula menemui penonton mulai 27 April 2025, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104), dan turut boleh distrim menerusi Astro GO serta aplikasi sooka. Program ini menyasarkan peminat hiburan moden yang menggemari kandungan realiti kompetitif berkonsepkan transformasi dan fandom.
Meneruskan legasi Big Stage yang telah melahirkan bakat-bakat seperti Aisha Retno dan Nadeera Zaini, Big Stage Alpha tampil dengan pendekatan lebih kontemporari, memberi peluang kepada peserta untuk mengasah bakat, membina persona serta membentuk kerjaya sebagai artis berkumpulan. Langkah ini selari dengan misi Astro untuk mencungkil bintang tempatan yang bersedia melangkah ke pentas antarabangsa dengan bimbingan dan pendedahan yang komprehensif.
Seramai 18 peserta lelaki berusia antara 18 hingga 37 tahun telah dipilih melalui proses uji bakat terbuka yang pertama kali diperkenalkan dalam sejarah Big Stage. Mereka terdiri daripada wakil-wakil dari Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia, mencerminkan keterbukaan program ini kepada bakat serantau. Antara yang terpilih ialah Afiq Sky, Alif Azri, Allan Andersn, Ariel Fesol, Ashmirul, Araff, Que, Qarl G, Daniel Sher, Ray-D, Apich Lo, Ridhwan Azman, Awienit, Suff Ahmed, Syafeek Ikhwan, Izat Ibrahim, Rizal Rasid dan Shaqeen.

Menurut Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Astro Ria, Big Stage Alpha merupakan respons kepada minat yang semakin meningkat terhadap format idol survival dalam landskap hiburan global. Beliau berkata program ini menawarkan pengalaman realiti yang penuh cabaran dan emosi, sambil menonjolkan bakat sebenar dan dedikasi para peserta dalam mengejar impian. Dengan elemen pertandingan yang kompetitif, program ini turut menggalakkan sokongan aktif daripada penonton melalui undian mingguan.
Big Stage Alpha dikendalikan oleh pengacara popular Elly Mazlein yang bergandingan dengan bintang Indonesia, Rina Nose, dalam usaha merapatkan dua budaya hiburan serumpun. Barisan juri tetap pula terdiri daripada Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini, yang akan menilai persembahan peserta dari aspek vokal, kreativiti serta keserasian kumpulan.
Program ini akan berlangsung selama lapan minggu, di mana setiap minggu menyaksikan peserta diuji dengan tugasan persembahan individu dan berkumpulan mengikut tema yang berbeza. Markah juri akan menentukan peserta yang berada di kedudukan tiga terbawah, manakala penyingkiran akan ditentukan oleh undian penonton. Hanya peserta yang berjaya menambat hati juri dan peminat akan mara ke pentas akhir dan diberi peluang untuk debut sebagai kumpulan lelaki rasmi di bawah label Rocketfuel Entertainment dan Astro.
Konsert mingguan Big Stage Alpha akan disiarkan secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam. Di samping itu, penonton juga boleh mengikuti kandungan eksklusif menerusi Buzz Big Stage Alpha setiap Ahad selepas konsert, serta Diari Big Stage Alpha pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 11.08 malam, yang memaparkan perjalanan harian peserta termasuk sesi latihan, persediaan koreografi dan momen-momen di belakang tabir.
Tahun ini, Big Stage Alpha dibawakan oleh Perfume Paradise sebagai Penaja Utama. Dikenali dengan tagline “Spray Sekali, Wangi 3 Hari”, Perfume Paradise merupakan jenama wangian tempatan yang telah menerima pengiktirafan Superbrands Malaysia 2024, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai jenama yang dipercayai ramai. Turut bersama sebagai rakan penaja ialah ZUS Ngupi selaku Kopi Rasmi musim ini.
Astro Gempak turut terlibat sebagai Rakan Digital Rasmi dan ERA sebagai Rakan Radio Rasmi, memastikan liputan menyeluruh di pelbagai platform media untuk menjangkau khalayak lebih luas.
Untuk menonton Big Stage Alpha, langgan Pek Astro One pada hanya RM49.99 sebulan atau tingkatkan pengalaman hiburan anda dengan pelan Astro Fibre 500Mbps berserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk maklumat lanjut.
Program ini menjanjikan hiburan segar, dinamik dan penuh kejutan, sekaligus membuka lembaran baharu dalam landskap program realiti tempatan.