Wed. Nov 5th, 2025

Penyanyi dan komposer berbakat, Andi Bernadee, kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single terbaharunya berjudul Siapakah Namamu. Lagu ini mengangkat tema pertemuan cinta yang tidak diduga, membawa pendengar menyelami detik pertama jatuh hati pada pandangan pertama, saat hati terpaut dan timbul rasa ingin mengenali insan yang mempesona.

Hasil kolaborasi mantap bersama Kuizz dan The T, Siapakah Namamu menampilkan Kuizz sebagai penyusun muzik dan penerbit, manakala melodi asal diberikan oleh The T. Menurut Andi, melodi tersebut ‘mengikat’ perhatiannya sebaik sahaja didengar, malah memberikan kelainan dalam perjalanan muziknya kerana belum pernah ada rentak seumpama itu dalam discography beliau.

Selain menyanyi, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile turut menyumbangkan idea dalam penulisan lirik untuk memberi sentuhan peribadi. Beliau mahu lagu ini mencerminkan dirinya agar lebih dekat di hati pendengar. Meskipun proses rakaman berjalan lancar, beliau mengakui lagu ini menuntut ketelitian dari segi kawalan vokal kerana melodinya yang naik dan turun memerlukan teknik yang rapi.

Anak kelahiran Kota Kinabalu itu juga memuji dedikasi rakan kolaborasinya, menyifatkan Kuizz dan The T sebagai tulang belakang yang memastikan penghasilan lagu ini mencapai tahap terbaik. Beliau tidak menolak untuk bekerjasama lagi dengan mereka pada masa hadapan.

Bagi Andi, Siapakah Namamu adalah karya yang tidak memerlukan pendengar untuk terlalu mendalami makna liriknya. Cukup sekadar memasang lagu ini ketika sedang dilamun rasa terhadap seseorang yang baru dikenali, dan perasaannya akan terserlah melalui melodi dan bait kata yang disampaikan.

Single Siapakah Namamu kini boleh didapati di semua platform penstriman digital bermula 15 Ogos 2025, manakala muzik videonya turut dilancarkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Andi Bernadee.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *