Program popular “The Chosen One XTRA” kembali dengan wajah baharu dan kejutan lebih besar, menampilkan bukan sahaja bakat nyanyian, tetapi juga tarian, akrobatik, permainan instrumen muzik dan pelbagai kebolehan lain yang mempesonakan. Musim ini lebih meriah dengan kehadiran barisan coach selebriti yang terdiri daripada Namie, Nikki Palikat, Achey, Tuju & Loca B, Bunga, Usop dan Naqiu, yang masing-masing membimbing bintang cilik untuk bersinar di pentas utama.
Setiap persembahan peserta bersama pasangan selebriti akan diadili sepenuhnya oleh barisan juri profesional sejurus selepas persembahan berlangsung. Menariknya, pentas akhir kali ini bukan sahaja akan menentukan siapakah juara utama yang bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta trofi sumbangan Astro, tetapi turut menobatkan anugerah khas seperti Coach Terbaik dan Persembahan Terbaik. Kedua-dua kategori tambahan ini masing-masing menawarkan hadiah wang tunai RM10,000, dengan pemenang Persembahan Terbaik ditentukan melalui undian penonton di laman rasmi www.thechosenone.com.my.

Barisan juri kali ini turut diperkuatkan dengan figura terkenal, Dato’ Awie dan Sharifah Sakinah, manakala Datuk Aznil Hj. Nawawi hadir sebagai juri jemputan. Hos serba boleh Nabil Ahmad pula bertindak sebagai pengemudi pentas, menghidupkan suasana penuh meriah dan menceriakan setiap minggu.
Mengangkat tema “IRL: We Listen, We Don’t Judge”, The Chosen One XTRA bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga platform untuk menghargai usaha, semangat, dan keberanian generasi muda yang tampil dengan bakat luar biasa. Dari minggu ke minggu, peserta cilik yang berbakat besar terus mencuri perhatian penonton dengan kreativiti dan persembahan penuh warna.
Dengan format baharu, barisan selebriti hebat dan hadiah lumayan, The Chosen One XTRA musim ini pastinya menjadi antara program paling ditunggu-tunggu di Astro, sekali gus meraikan kehebatan bakat generasi muda Malaysia.