Dato’ Norman Abdul Halim tampil memberikan penjelasan berhubung tajuk-tajuk sensasi di media yang tular mengenai pembatalan konsert GenKRU di Pulau Pinang. Menurut beliau, kenyataan sebenar telah disalah tafsir oleh sebahagian pihak, kerana hakikatnya pihak KRU tidak pernah mengumumkan penganjuran mahupun pelancaran tiket konsert GenKRU di Pulau Pinang atau mana-mana negeri lain. Apa yang berlaku hanyalah perbincangan dan hasrat awal untuk membawa konsert GenKRU ke beberapa negeri, namun selepas meneliti kajian teknikal dan faktor pelaksanaan, hasrat tersebut dibatalkan.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat kerana pihaknya percaya persembahan konsert GenKRU di Axiata Arena memiliki standard dan keistimewaan tersendiri yang sukar diulang dalam bentuk yang sama di lokasi lain. Demi menjaga nilai eksklusif dan kenangan manis peminat yang hadir di Axiata Arena, pihak KRU memilih untuk mengabadikan persembahan itu sebagai acara kelas dunia yang sekali sahaja diadakan. Rakaman konsert tersebut juga telah dibuat dan akan disiarkan untuk tatapan semua.

Dalam masa yang sama, Dato’ Norman memaklumkan pihaknya kini sedang meneliti format dan kandungan untuk persembahan di luar Kuala Lumpur dengan menggunakan jenama lain, bukan GenKRU. Langkah ini diambil bagi mengelakkan peminat membandingkan kualiti persembahan di negeri lain dengan konsert berjenama GenKRU di Kuala Lumpur. Sekiranya konsert GenKRU diadakan lagi pada masa akan datang, beliau menegaskan ia perlu lebih besar dan hebat berbanding persembahan di Axiata Arena.
Dato’ Norman mengakhiri kenyataan dengan menegaskan bahawa segala keputusan dibuat demi memberikan yang terbaik kepada peminat dan mengelakkan kekecewaan. Beliau turut mengingatkan agar peminat hanya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi bagi mengelakkan kekeliruan akibat khabar angin.