Mon. Nov 3rd, 2025

Fenomena #JaCieEffects kini menjadi bualan hangat di alam maya apabila gandingan mantap Tracie Sinidol dan Jazmy Juma dalam drama Hilang Dalam Rindu berjaya mencuri perhatian bukan sahaja di Malaysia, malah hingga ke Indonesia. Chemistry mereka yang tulus dan memikat membuatkan penonton terbuai, seolah-olah menyaksikan kisah cinta sebenar di layar kaca.

Drama ini istimewa kerana merupakan adaptasi 100% daripada novel popular dengan sentuhan vibe wattpad, namun mengekalkan jalan cerita asal tanpa babak berlebihan atau ‘cringe’. Di bawah pengarahan Along Kamaluddin, setiap episod membawa penonton hanyut dalam kisah cinta yang menyentuh hati. Kejayaan drama ini turut dibuktikan dengan penjualan sebanyak 31,500 naskhah novel dalam tempoh singkat, mencerminkan sambutan luar biasa daripada peminat.

Menariknya, ada penonton yang sebelum ini jarang menonton drama Melayu sanggup berjaga hingga jam 5 pagi untuk melakukan maraton episod tanpa henti. Gandingan Tracie dan Jazmy menonjolkan keserasian luar biasa, dengan babak romantik sederhana tetapi penuh makna sehingga membuatkan peminat ‘cair’.

Tracie turut menerima pujian kerana menampilkan lakonan yang sopan dan menjaga batas pergaulan, selain berjaya membawa watak Dira yang memiliki sisi gelap dan kompleks. Lakonannya yang berlapis membuktikan keupayaan beliau untuk menjayakan watak yang mencabar, sekali gus menambah kedalaman kepada jalan cerita.

Reaksi peminat turut membanjiri media sosial dengan komen positif. Ada yang memuji kesetiaan skrip kepada novel, ada juga yang bergurau meninggalkan tontonan drama luar negara untuk memberi tumpuan kepada karya ini. Tidak ketinggalan, peminat dari Indonesia turut mengikuti perkembangan drama ini dan memuji chemistry Tracie serta Jazmy yang dianggap ‘padu’.

Hilang Dalam Rindu boleh ditonton setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3, manakala episod baharu turut tersedia untuk distrim 24 jam lebih awal melalui Tonton di www.tonton.com.my.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *