Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus pada suku kedua 2025, mengekalkan kadar yang sama seperti suku pertama tahun ini. Dari segi pelarasan musim suku ke suku, KDNK meningkat 2.1 peratus berbanding 0.7 peratus pada suku sebelumnya. Mengikut prestasi bulanan, ekonomi berkembang 4.4 peratus pada April, 3.3 peratus pada Mei, dan melonjak kepada 5.5 peratus pada Jun 2025, menjadikan pertumbuhan separuh pertama tahun ini berada pada kadar 4.4 peratus, sedikit rendah berbanding 5.0 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, pertumbuhan suku kedua ini dipacu oleh prestasi kukuh sektor Perkhidmatan, Pembuatan, dan Pembinaan, dengan sokongan kukuh daripada permintaan domestik. Perbelanjaan pengguna yang diperkaya oleh sambutan musim perayaan, aktiviti perjalanan, serta pelaburan dalam projek pembinaan khususnya pusat data, terus mengukuhkan asas pertumbuhan. Faktor seperti pasaran buruh yang stabil, kadar pengangguran rendah, inflasi terkawal, dan bantuan kewangan bersasar turut meningkatkan kuasa beli isi rumah. Walaupun keadaan luaran kekal mencabar akibat ketegangan tarif dan ketidakpastian politik global, ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan yang memberangsangkan.

Dari segi sektoral, sektor Perkhidmatan berkembang 5.1 peratus, disokong oleh subsektor Perdagangan borong dan runcit yang masing-masing meningkat 6.1 dan 3.8 peratus. Subsektor Pengangkutan dan penyimpanan serta Makanan, minuman dan penginapan turut mencatatkan prestasi tinggi masing-masing pada 8.6 dan 9.0 peratus, hasil daripada peningkatan muatan dan ketibaan pelancong. Sektor Pembuatan pula berkembang 3.7 peratus, dipacu industri berorientasikan domestik walaupun industri berorientasikan eksport berdepan kelembapan.
Sektor Pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.1 peratus, mengekalkan momentum kukuh selama enam suku berturut-turut, dipacu oleh projek berskala besar dalam industri, komersial, dan infrastruktur. Sektor Pertanian meningkat 2.1 peratus, disumbangkan oleh pengeluaran kelapa sawit yang lebih tinggi, manakala sektor Perlombongan dan pengkuarian menyusut 5.2 peratus akibat pengeluaran gas asli dan minyak mentah yang lebih rendah.

Dari sudut perbelanjaan, penggunaan akhir swasta bertumbuh 5.3 peratus, disokong oleh perbelanjaan tinggi dalam restoran, hotel, pengangkutan, dan makanan serta minuman bukan alkohol. Pelaburan melalui pembentukan modal tetap kasar meningkat 12.1 peratus, dengan lonjakan ketara dalam jentera dan peralatan khususnya dalam teknologi maklumat dan komunikasi. Perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan turut meningkat 6.4 peratus, manakala perdagangan luar negara menyaksikan import berkembang 6.6 peratus dan eksport hanya 2.6 peratus, menyebabkan eksport bersih merosot ketara.
Dalam perkembangan lain, Malaysia mencatat pencapaian bersejarah apabila menduduki tempat pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan Open Data Watch, melonjak daripada kedudukan ke-67 pada edisi sebelumnya. DOSM juga akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) tahun ini, selaras dengan usaha memperkukuh kerjasama serantau. Kerajaan turut menetapkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara dengan tema “Statistik Nadi Kehidupan” yang akan diraikan bersama sambutan Hari Statistik Dunia Keempat bertemakan “Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone” pada tahun ini.