Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) hari ini memaklumkan bahawa Bursa Malaysia telah meluluskan permohonan FGV Holdings Berhad (FGV) untuk menggantung sementara perdagangan saham syarikat berkuat kuasa serta-merta. Penggantungan ini dilaksanakan susulan kejayaan FELDA memperoleh pemilikan melebihi 90 peratus dalam FGV melalui Tawaran Pengambilalihan Sukarela Tanpa Syarat (Unconditional Voluntary Take-Over Offer – VTO) yang dimuktamadkan pada 29 Julai 2025. Kejayaan itu sekaligus memenuhi syarat utama untuk menarik balik status penyenaraian saham FGV daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Penggantungan perdagangan ini merupakan sebahagian daripada proses akhir yang membawa kepada penyahsenaraian rasmi FGV daripada Bursa Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 28 Ogos 2025. Setakat penutupan dagangan pada 22 Ogos 2025, saham FGV diniagakan pada harga RM1.30 sesaham. Dengan kejayaan tawaran ini, FELDA bersama Persons Acting in Concert (PAC) kini menguasai sebanyak 95.29 peratus daripada keseluruhan pegangan saham FGV.
Walaupun begitu, FELDA menegaskan bahawa para pemegang saham yang menolak tawaran VTO atau dikenali sebagai Dissenting Holders masih mempunyai peluang untuk menjual saham mereka kepada FELDA. Hak tersebut boleh dilaksanakan sehingga 15 Januari 2026, jam 5.00 petang, selaras dengan Notis yang telah dikeluarkan oleh FELDA pada 22 Ogos 2025. FELDA turut menggalakkan para pemegang saham yang masih belum menerima tawaran agar berbuat demikian sebelum tempoh yang ditetapkan berakhir.
Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang FELDA untuk memperkukuh kedudukan korporat Kumpulan FELDA, memperkasakan ekosistem industri, memastikan kelestarian perniagaan dalam jangka masa panjang serta memberi nilai tambah kepada semua pihak berkepentingan, khususnya warga peneroka yang menjadi tonggak utama organisasi tersebut.