Sat. Nov 8th, 2025

FGV Holdings Berhad (FGV) kini telah rasmi keluar daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia berkuatkuasa pada jam 9 pagi hari ini, selepas saham syarikat digantung daripada dagangan pada 25 Ogos lalu. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memaklumkan bahawa sehingga kini, FELDA bersama pihak Persons Acting in Concert (PACs) telah memiliki 95.29% daripada jumlah keseluruhan saham FGV, menandakan pengambilalihan strategik yang membolehkan FELDA mengawal sepenuhnya operasi syarikat.

Langkah ini menandakan permulaan fasa baharu dalam memperkukuh struktur korporat FELDA, sekaligus mengoptimumkan operasi ladang dan meningkatkan pulangan ekonomi kepada FELDA serta pemegang taruh utama, iaitu peneroka. Dengan FGV tidak lagi tersenarai di Bursa Malaysia, FELDA kini berupaya mengawal rantaian nilai industri sawit secara menyeluruh, termasuk pengurusan hasil dan kos operasi ladang. Strategi ini dijangka meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi, dan memaksimumkan pulangan secara konsisten untuk jangka masa panjang.

Walaupun FGV telah dikeluarkan daripada Bursa, pemegang saham yang menolak Tawaran Pengambilalihan Sukarela Tanpa Syarat masih berpeluang melaksanakan hak mereka untuk menjual pegangan saham kepada FELDA sehingga 15 Januari 2026 sebelum jam 5 petang, selaras dengan notis yang dikeluarkan pada 22 Ogos 2025. FELDA yakin bahawa penyusunan semula ekosistem Kumpulan FELDA secara menyeluruh ini akan memacu pertumbuhan yang lebih mampan, meningkatkan daya saing di peringkat global, dan mengekalkan kesejahteraan komuniti peneroka untuk tempoh jangka panjang.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *