Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-68 dan Hari Malaysia, syarikat produksi SOL Pictures Sdn. Bhd. bersama pengedar Empire Film SoluDon dengan kerjasama TGV Cinemas akan menayangkan semula filem popular, Gayong, bermula 28 Ogos sehingga 17 September ini. Inisiatif ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan kedua-dua hari bersejarah tersebut dengan menampilkan sebuah filem yang mengangkat semangat patriotik, perpaduan, dan jati diri.
Penerbit eksekutif Khairul Anuar LaDp menjelaskan bahawa tayangan semula ini memberi peluang kepada mereka yang terlepas menonton filem tersebut sebelum ini. “Apabila pertama kali ditayangkan, Gayong menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada penonton. Namun, masih ramai yang belum berpeluang menontonnya, jadi kami ingin membuka kembali peluang ini di pawagam,” ujarnya. Menurut Khairul, filem ini amat sesuai untuk dipertontonkan semula kerana kisah utamanya menekankan perjuangan seorang insan dalam mempertahankan maruah bangsa, agama, dan tanah air daripada ancaman penjajahan.
Gayong, arahan Faisal Ishak, diinspirasikan daripada kehidupan Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman. Filem ini sebelum ini telah ditayangkan pada 5 Mei dan menampilkan barisan pelakon popular seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip, dan Yayan Ruhian.

Untuk tayangan semula kali ini, penonton bakal menyaksikan versi yang lebih menarik dengan beberapa penambahbaikan, termasuk gabungan director’s cut dan pengkritik filem. Khairul turut mendedahkan bahawa beberapa klip eksklusif daripada Gayong 2, yang dijangka ditayangkan tahun hadapan, turut diselitkan bagi menambah daya tarikan tayangan kali ini.
Filem ini akan dipertontonkan di seluruh rangkaian TGV Cinemas di Malaysia dengan harga tiket yang berpatutan, iaitu RM10 sahaja. Khairul turut menyeru semua pihak, termasuk badan kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan, dan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik, untuk beramai-ramai menonton Gayong kerana filem ini menyuntik semangat perpaduan serta memartabatkan maruah bangsa, agama, dan negara. Selain pembelian tiket secara dalam talian dan walk-in di pawagam, tempahan secara berkumpulan juga boleh dilakukan melalui semua platform media sosial rasmi filem ini di @filemgayongrasmi.