Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 kembali lagi buat kali kedua dengan penganjuran yang lebih meriah, berskala besar dan padat dengan informasi berguna khususnya dalam aspek pendidikan dan kewangan keluarga. Acara anjuran Majalah Pa&Ma dengan kerjasama strategik Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) ini berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 Ogos 2025 di KSL Esplanade Mall, Bandar Bestari, Klang, bermula dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Festival keluarga ini menggabungkan pendidikan, hiburan dan aktiviti interaktif yang menjanjikan pengalaman menyeronokkan, di samping menyampaikan mesej penting tentang kepentingan menabung sebagai pelaburan masa depan anak-anak.
Dengan sasaran kehadiran lebih 1000 pengunjung sepanjang tempoh dua hari, Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 menjadi platform ideal bagi ibu bapa dan anak-anak untuk berhibur sambil meningkatkan kesedaran mengenai nilai simpanan serta literasi kewangan. Majlis perasmian festival ini telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Encik Syamil bin Fahim, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Puan Wan Zawiah binti Wan Abu Bakar, serta Timbalan Editor Pengurusan Grup Family & Parenting Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Shahir Rahim.
Perasmian festival kali ini turut diserikan dengan perarakan hampir 400 kanak-kanak yang berpakaian mengikut tema Warisan Kesultanan Melayu, disusuli dengan persembahan silat oleh bekas Pesilat Negara, Mohd Al Jufferi Jamari. Persembahan tersebut bukan sahaja mencerminkan kehebatan seni bela diri, malah menjadi simbol keutuhan warisan bangsa. Penyanyi cilik Umairah turut memeriahkan acara dengan mendendangkan lagu tema rasmi Simpan SSPN sebagai simbolik kepada mesej utama iaitu menabung demi masa depan pendidikan anak-anak. Suasana perasmian semakin rancak dengan persembahan istimewa daripada Azzam Syah dan Sheryl Shazwanie yang membawa alunan lagu berirama Malaysia.
Selain acara utama di pentas, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik di reruai interaktif bertemakan pendidikan. Antaranya termasuk Petting Zoo, Klinik Gigi Kanak-kanak, Henna, Face Painting dan pameran khas Kaunter PTPTN Negeri Selangor yang dibuka bagi memberi penerangan lebih mendalam mengenai kelebihan Simpan SSPN kepada ibu bapa. Aktiviti-aktiviti ini bukan sekadar tarikan hiburan, sebaliknya menjadi medium pembelajaran santai yang mampu memberikan pengalaman bermakna kepada kanak-kanak.

Acara kemuncak festival, Konsert Meletop, turut menarik perhatian ramai apabila bakat cilik berusia antara empat hingga dua belas tahun diberi peluang mempersembahkan kebolehan kreatif mereka di atas pentas. Persembahan itu dinilai oleh penyanyi popular Nabila Razali yang bukan sahaja bertindak sebagai juri, tetapi turut membuat persembahan khas yang menghiburkan para penonton.
Menurut pihak penganjur, Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 bukan sekadar sebuah festival hiburan, sebaliknya ia merupakan platform untuk menyampaikan mesej penting tentang literasi kewangan dan tabiat menabung sejak kecil. Penganjuran acara ini juga mencerminkan usaha bersama dalam membina generasi muda yang celik kewangan, di samping memperkukuh kesedaran ibu bapa tentang peranan penting mereka dalam merancang masa depan pendidikan anak-anak.
“Pendidikan bermula dengan persediaan kewangan yang kukuh. Melalui Simpan SSPN, ibu bapa mampu menyediakan jaminan yang lebih baik untuk masa depan anak-anak mereka. Festival ini menjadi jambatan dalam menyampaikan mesej tersebut dalam suasana penuh keceriaan dan nilai kekeluargaan,” ujar Encik Shahir Rahim, Penolong Editor Pengurusan Grup Family & Parenting Nu Ideaktiv Sdn. Bhd.
Penganjuran Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 sekali lagi membuktikan bahawa hiburan dan pendidikan boleh digabungkan secara kreatif untuk menyampaikan mesej menabung dengan cara yang lebih dekat di hati masyarakat. Festival ini bukan sahaja berjaya menghiburkan pengunjung, malah berperanan besar dalam meningkatkan kesedaran kewangan, mendidik generasi muda tentang nilai simpanan sejak awal, serta mendorong ibu bapa merancang masa depan pendidikan anak-anak melalui skim Simpan SSPN yang lebih terjamin.