Tue. Nov 4th, 2025
Screenshot

Fenomena baharu dalam dunia drama tempatan semakin memuncak apabila siri popular slot Samarinda, Hilang Dalam Rindu, menghampiri detik terakhirnya. Malam ini, tepat jam 10.00 malam di TV3, jutaan penonton dijangka terpaku di skrin bagi menyaksikan penamat kisah cinta penuh konflik antara Eijaz dan Aira yang sejak episod pertama berjaya mencuri hati ramai.

Episod akhir ini bukan sekadar menjadi noktah kepada sebuah naskah cinta yang penuh liku, tetapi juga detik bersejarah dalam dunia hiburan tempatan. Dengan jangkaan melebihi 3.5 juta tontonan, Hilang Dalam Rindu sekali lagi membuktikan kekuatannya sebagai drama yang mampu merentap emosi penonton dan mendekatkan mereka dengan barisan pelakon utama yang telah menemani sepanjang lima minggu tayangan.

Sejak mula disiarkan, drama ini telah mencetuskan fenomena luar biasa. Setiap minggu, ia menjadi trending di media sosial, dengan ribuan penonton melontarkan reaksi, teori dan perbincangan mengenai jalan ceritanya. Daya tarikan utama drama ini terletak pada kisah cinta yang penuh pengorbanan, disulami dendam serta cabaran hidup, sekaligus menghadirkan naskah sarat emosi yang sukar dilupakan.

Pengarah drama ini, Jazmy Juma, berkongsi bahawa perjalanan cinta antara Eijaz dan Aira bukan sahaja tentang emosi dan air mata, tetapi juga mesej mendalam mengenai kejujuran dan makna pengorbanan. “Akhir sekali, untuk keseluruhan naskah ini sebenarnya ingin mengetengahkan tentang wang tak selamanya berjaya menutup setiap kesalahan yang telah dilakukan. Sentiasa jujur kerana akan ada banyak lagi cara lain yang boleh menyelesaikan masalah. Saya harap penonton akan merasai dan terima setiap emosi itu bersama kami dalam episod akhir nanti,” jelasnya.

Malam ini, penonton bakal mengetahui kesudahan cinta Eijaz dan Aira setelah melalui pelbagai rintangan yang menguji kepercayaan dan kesetiaan mereka. Adakah pengorbanan yang dilakukan akan membawa kepada kebahagiaan, atau sebaliknya meninggalkan luka yang tidak mungkin sembuh?

Jawapannya hanya boleh disaksikan dalam episod akhir Hilang Dalam Rindu yang ditayangkan malam ini di TV3. Bagi yang ingin menonton secara digital, drama ini turut boleh distrim eksklusif melalui Tonton di www.tonton.com.my serta aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *