Menjadi konsisten dalam melaksanakan sesuatu acara bukanlah perkara mudah, namun Hausboom sekali lagi membuktikan komitmen mereka apabila mengumumkan penganjuran AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan oleh Hotlink, festival muzik dan gaya hidup tahunan terbesar negara yang bakal kembali dengan konsep baharu, “Paint The Town Red”. Acara penuh warna dan tenaga ini dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 Oktober 2025 bertempat di MAEPS, Serdang.
Konsep “Paint The Town Red” dipilih kerana warna merah melambangkan semangat, keberanian, dan tenaga yang seiring dengan jenama Hausboom, AirAsia serta Hotlink. Lebih daripada sekadar festival muzik, kolaborasi epik bersama AirAsia menjadikan festival kali ini sebagai sebuah pengalaman gaya hidup menyeluruh, yang menggabungkan hiburan, makanan, fesyen dan pelbagai kejutan eksklusif buat pengunjung.
Bersempena dengan kerjasama ini, Hausboom turut melancarkan Kempen AirAsia x Hausboom: Scan & Win yang menawarkan hadiah lumayan seperti tiket penerbangan percuma tanpa had selama setahun, tiket pergi-balik ke 18 destinasi, baucar AirAsia MOVE, AirAsia Ride & Ikhlas.com, hadiah tunai sehingga RM50,000 serta tiket percuma ke festival. Label khas edisi terhad dengan kod QR unik boleh ditemui pada kesemua sembilan perisa Hausboom di kedai-kedai utama termasuk 7-Eleven, Kedai Mesra Petronas, Shell Select dan AEON BiG.

Hotlink pula kembali sebagai rakan kolaborasi rasmi untuk tahun kedua berturut-turut, dengan menawarkan lebih nilai kepada pengguna bijak bajet. Empat tin Hausboom edisi terhad diperkenalkan khusus untuk pengguna Hotlink yang boleh mengakses ganjaran eksklusif melalui imbasan kod QR, termasuk peluang memenangi tiket festival, telefon pintar, tambah nilai prabayar, internet percuma serta baucar makanan dan minuman. Booth Hotlink sepanjang festival juga akan dipenuhi dengan aktiviti interaktif dan cabutan hadiah menarik.
Tidak ketinggalan, Perodua tampil sebagai rakan automotif rasmi dengan tawaran hadiah terbesar dalam sejarah festival – sebuah Perodua Ativa serba baharu yang bakal diberikan melalui cabutan bertuah eksklusif. Hadiah ini menjadikan festival bukan sekadar ruang hiburan, tetapi juga peluang luar biasa bagi pengunjung untuk pulang dengan sebuah kereta baharu.
Buat julung kali, Hausboom bekerjasama dengan KL Foodie untuk mempersembahkan Hausboom KL Foodie Fest, festival makanan yang menghimpunkan lebih 100 vendor makanan unik daripada pelbagai kategori, daripada juadah jalanan, hidangan popular hinggalah sajian istimewa yang jarang ditemui. Acara ini dibuka dari jam 10 pagi hingga 12 malam dengan kemasukan percuma untuk semua peringkat umur.
Pengalaman festival kali ini turut diperkuatkan dengan kehadiran Hausboom Lokal Fest 2025 yang membariskan lebih 80 jenama “streetwear & lifestyle” terkemuka seperti SVG, Makerz, Kyrex, The Cap City dan SOVO. Koleksi pakaian terpakai eksklusif serta barangan fesyen terkini akan memberi peluang kepada pengunjung untuk membeli-belah sambil menikmati suasana festival.
Dari segi hiburan, pentas utama bakal digegarkan dengan barisan artis hebat tempatan dan antarabangsa. Antara nama besar yang akan tampil termasuk Dato’ M. Nasir, Dato’ Jamal Abdillah, Ella, Slam, Def-Gab-C, Bunkface, K-Clique, Spider dan Salammusik. Festival ini juga mempertemukan peminat dengan artis dari Indonesia seperti Samsons, Bernadya, Kunto Aji, Feby Putri, Nadhif Basalamah dan Ghea Indrawari. Tidak ketinggalan artis generasi baharu seperti Dolla, Insomniacks, No Good, Lucidrari, LOKO, Spooky Wet Dreams, The Rudean serta ramai lagi yang akan menambah kepelbagaian rentak muzik sepanjang dua hari acara.
AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan oleh Hotlink dijangka menjadi acara paling berpengaruh tahun ini dengan gabungan muzik, makanan, fesyen dan gaya hidup yang lengkap. Dengan tiket bermula dari harga RM119 untuk General Admission, RM299 untuk Rockzone dan RM1,200 untuk pas VVIP, festival ini menjanjikan pengalaman yang tiada tandingan. Pas VVIP memberikan keistimewaan eksklusif seperti premium view deck, hidangan dan minuman percuma tanpa had, laluan ekspres serta kemudahan tandas peribadi.
Kesemua tiket boleh dibeli secara rasmi melalui platform sayalive.io/hausboomfestival2025. Festival ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan rasmi seperti AirAsia, Hotlink, 7-Eleven, Kahf, Perodua, Astro Gempak, KL Foodie, SVG, SOVO, Gladius dan Sani United Berhad.
Dengan gabungan 33 artis tempatan dan antarabangsa, lebih 100 vendor makanan serta lebih 80 jenama fesyen dan gaya hidup, AirAsia Hausboom Festival 2025 bukan sekadar festival muzik tetapi satu perayaan budaya pop dan gaya hidup moden yang bakal menggegarkan Malaysia pada bulan Oktober ini.