PUTRAJAYA, 28 Ogos 2025 – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar menunjukkan penurunan lebih perlahan iaitu 3.8 peratus pada Julai 2025, berbanding penurunan 4.2 peratus pada Jun 2025. Laporan bulanan terbaharu yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menggariskan bahawa tren ini dipengaruhi oleh pergerakan harga dalam beberapa sektor utama, khususnya perlombongan dan pembuatan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan bahawa sektor perlombongan menurun sebanyak 8.7 peratus berbanding penurunan 8.0 peratus pada bulan sebelumnya, dipacu oleh penguncupan harga dalam pengekstrakan petroleum mentah sebanyak 9.8 peratus serta gas asli sebanyak 4.7 peratus. Sementara itu, sektor pembuatan susut 4.0 peratus berbanding 4.3 peratus pada Jun 2025, dengan penyumbang utama ialah pembuatan kok dan produk petroleum bertapis yang jatuh 15.7 peratus serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang menurun 7.6 peratus.
Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan peningkatan 1.1 peratus berbanding penurunan 0.3 peratus pada bulan sebelumnya, dipacu oleh kenaikan dalam penanaman tanaman kekal sebanyak 3.1 peratus. Sektor bekalan elektrik dan gas turut mencatatkan pertumbuhan 4.0 peratus, manakala bekalan air hanya menurun sedikit sebanyak 0.1 peratus pada Julai 2025. Dari segi asas bulanan, IHPR meningkat 0.3 peratus, sekali gus menutup penurunan 0.7 peratus pada bulan Jun. Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kenaikan 2.5 peratus dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan, serta peningkatan dalam sektor utiliti, iaitu bekalan elektrik dan gas sebanyak 3.4 peratus, dan bekalan air sebanyak 0.9 peratus. Sektor perlombongan kekal stabil selepas mencatatkan pertumbuhan pada bulan sebelumnya, sementara sektor pembuatan hanya menurun sedikit iaitu 0.1 peratus.
Mengikut peringkat pemprosesan, semua kategori mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelumnya. Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menurun 5.8 peratus, dipengaruhi oleh bahan bukan makanan yang susut 7.0 peratus. Bahan perantaraan, bekalan dan komponen pula turun 3.7 peratus, didorong oleh kejatuhan ketara bahan api yang diproses dan pelincir sebanyak 9.3 peratus. Barang siap juga menurun 2.4 peratus, terutamanya disebabkan oleh kelembapan dalam kelengkapan modal yang menyusut 3.9 peratus. Namun begitu, dari sudut bulanan, indeks bahan mentah untuk diproseskan mencatatkan peningkatan sederhana sebanyak 0.8 peratus, manakala bahan perantaraan serta barang siap masing-masing meningkat 0.1 peratus.

Perbandingan antarabangsa menunjukkan tren bercampur-campur. Di Amerika Syarikat, IHPR meningkat 3.3 peratus, lebih tinggi berbanding 2.4 peratus pada bulan sebelumnya. Jepun pula mencatatkan kenaikan sederhana 2.6 peratus, sedikit rendah daripada 2.9 peratus pada Jun 2025. Sebaliknya, China terus mengalami deflasi dengan penurunan 3.6 peratus, menandakan bulan ke-34 berturut-turut deflasi pengeluar akibat permintaan domestik yang lemah serta perdagangan yang perlahan dengan A.S. Di rantau ini, Thailand turut mencatatkan penurunan 4.2 peratus, sekali gus meneruskan lima bulan berturut-turut dalam aliran negatif yang sejajar dengan tren di Malaysia.
Dari segi harga komoditi, purata harga minyak mentah Brent pada Julai 2025 ialah USD 70.95 setong, sedikit menurun berbanding USD 71.45 setong pada bulan sebelumnya. Pentadbiran Maklumat Tenaga A.S. (EIA) menjangkakan harga minyak mentah kekal dalam lingkungan USD 70 hingga USD 71 setong dalam jangka pendek. Sementara itu, harga purata minyak sawit mentah (MSM) Malaysia meningkat kepada RM 4,112.50 satu tan berbanding RM 3,969.00 satu tan pada Jun 2025. Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) pula menjangkakan harga MSM kekal stabil dalam julat RM 3,900 hingga RM 4,200 satu tan, dipacu oleh permintaan kukuh dari China dan India, selain daya saing harga yang lebih baik berbanding minyak kacang soya.
Dalam perkembangan lain, Malaysia akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) pada tahun ini bagi memperkukuh kerjasama statistik serantau ke arah pembangunan mampan. Malaysia turut mencapai pencapaian bersejarah apabila menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang diterbitkan oleh Open Data Watch, mengatasi 198 negara lain, berbanding kedudukan ke-67 pada penilaian 2022/23.
Kerajaan turut mengumumkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day) dengan tema “Statistik Nadi Kehidupan”, manakala Hari Statistik Dunia Keempat akan disambut pada tarikh sama dengan tema “Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone”. Inisiatif OpenDOSM NextGen yang dilancarkan juga memberi akses kepada katalog data dan visualisasi interaktif bagi memudahkan analisis pelbagai data melalui portal rasmi DOSM.