Thu. Oct 16th, 2025

Penyanyi baharu, Isa Azry, tampil memperkenalkan diri kepada dunia muzik tanah air dengan single sulung berjudul “Nadhif”, sebuah lagu ballad penuh emosi yang sarat dengan penghargaan buat insan paling istimewa, iaitu seorang ibu. Lagu ini merupakan hasil ciptaan bersama Jeremy Erskine, Amyr Abadawn dan Magix Mpire, serta diedarkan di bawah naungan syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd.

“Nadhif” membawa pendengar menyelami kisah pengorbanan seorang wanita yang melalui perjalanan hidup sejak zaman remajanya sehingga bergelar tulang belakang keluarga. Lirik yang penuh makna ini menjadi sebuah dedikasi buat semua ibu yang mencintai dalam diam, berkorban tanpa mengeluh, dan sentiasa meletakkan anak-anak sebagai keutamaan dalam kehidupan.

Berasal dari Perak, Isa Azry sebelum ini lebih dikenali sebagai penyanyi aktif di platform TikTok. Kehadirannya dengan single sulung ini menjadi satu langkah permulaan penting dalam perjalanan muziknya. Dengan vokal yang ikhlas dan penghayatan mendalam, Isa berjaya menyampaikan mesej kasih seorang anak kepada ibunya dengan penuh pengaruh emosi. “Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan lagu ini. Dengan rasa rendah diri, saya juga amat berbesar hati kepada pihak Luncai Emas kerana sudi menerima karya ini,” ujar Isa dengan penuh penghargaan.

Rakaman “Nadhif” dijalankan di Exuism Record, Singapura, manakala penerbitannya dikendalikan oleh Amyr Abadawn dan Magix Mpire. Susunan muzik yang lembut digabungkan dengan vokal penuh perasaan menjadikan lagu ini bukan sahaja indah didengar, malah mampu menyentuh jiwa pendengar. Ia menyampaikan kerinduan, rasa syukur dan penghormatan seorang anak terhadap ibunya – satu peringatan bahawa kasih ibu kekal abadi, meskipun sering tidak diluahkan dengan kata-kata.

Para komposer dan penulis lirik juga menyatakan rasa syukur kerana diberi peluang menghasilkan karya ini. “Lagu Nadhif kami tujukan khas buat para wanita dan anak-anak di luar sana, terutamanya untuk mengangkat nilai serta pengorbanan seorang ibu. Hargailah ibu anda selagi masih ada, kerana kasih seorang ibu tiada gantinya,” jelas mereka.

Bagi yang ingin menikmati sepenuhnya mesej dan melodi menyentuh hati ini, video muzik rasmi “Nadhif” boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas, selain boleh distrim di semua platform digital utama. Dengan pelancaran single sulung ini, Isa Azry membuktikan dirinya sebagai bakat baharu yang berpotensi besar untuk menyerlah di persada seni muzik tanah air.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *