Sebuah kisah romantik yang telah mencetuskan fenomena di Indonesia dengan lebih 3 juta penonton kini bersedia untuk menguasai layar perak tanah air. Filem Sore: Istri Dari Masa Depan, adaptasi daripada siri web popular terbitan Inhype Pictures, akan menemui penonton Malaysia bermula 25 September 2025. Dibawa secara rasmi oleh Primeworks Studios sebagai pengedar dan rakan pemasaran, naskhah ini menjanjikan sebuah pengalaman menonton yang penuh emosi, sinematik dan berbekas di hati.
Versi layar perak ini tidak sekadar mengekalkan kisah asal yang menjadi kegemaran jutaan penonton, tetapi hadir dengan skala lebih besar, visual yang memukau, serta jalan cerita yang digarap dengan emosi lebih mendalam. Setiap babak dijanjikan sarat dengan jiwa, membolehkan penonton merasai kehangatan cinta yang melangkaui sempadan masa.
Menariknya, adaptasi ini menampilkan gandingan serasi Dion Wiyoko dan Sheila Dara Aisha. Sheila yang mengambil alih watak Sore daripada Tika Bravani dalam versi asal, tampil dengan lakonan penuh versatiliti yang sudah sinonim dengan dirinya. Dion pula membawakan watak Jonathan, seorang lelaki yang hidupnya kosong dan sepi sehingga kehadiran Sore mengubah segalanya. Chemistry antara kedua-dua pelakon ini dijangka menjadi daya tarikan utama yang membuatkan setiap detik terasa begitu hidup dan menyentuh emosi penonton.

Kisahnya berputar pada Jonathan, seorang lelaki yang tidak pernah benar-benar menemui makna cinta sehinggalah munculnya seorang wanita misteri. Wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Sore – isterinya dari masa depan. Kehadiran Sore bukan sahaja membawa sinar baharu dalam hidup Jonathan, malah membuatkan dia mula memahami nilai cinta, takdir dan erti kehidupan sebenar. Namun, kebahagiaan mereka tidak datang tanpa ujian. Saat rahsia masa depan mula terbongkar, persoalan besar pun timbul: mampukah cinta mereka bertahan melawan arus takdir?
Sore: Istri Dari Masa Depan bukan sekadar kisah cinta biasa, tetapi sebuah perjalanan emosi yang mengajar tentang keberanian, pengorbanan dan harapan. Dengan sentuhan sinematik yang indah, jalan cerita yang menyentuh jiwa dan lakonan mantap barisan pelakon, filem ini pasti menjadi pengalaman romantik yang sukar dilupakan.
Buat peminat kisah cinta penuh magis, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena dari seberang ini di pawagam seluruh Malaysia bermula 25 September 2025. Ikuti perkembangan terkini serta kandungan eksklusif di semua platform media sosial rasmi Primeworks Studios.