Kuala Lumpur Tower hari ini memperkenalkan maskot terbaharunya yang diberi nama “Kay Elle”, simbol baharu yang mencerminkan keramahan, kepelbagaian budaya, dan kebanggaan rakyat Malaysia. Bagi meraikan pengenalan maskot ini, pihak Kuala Lumpur Tower mengadakan Pertandingan Rekaan Maskot “Befriend Kay Elle”, yang membuka peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menonjolkan kreativiti mereka dengan mencipta rakan baharu bagi Kay Elle.
Pertandingan ini memberi ruang kepada peserta untuk mereka sebuah maskot yang akan menjadi sebahagian daripada dunia Kay Elle, sekaligus berpeluang menjadi identiti rasmi dan dijadikan koleksi cenderamata eksklusif Kuala Lumpur Tower. Selain itu, pemenang akan menerima hadiah menarik termasuk wang tunai RM2,000, pas masuk tahunan ke Kuala Lumpur Tower, pakej cenderamata eksklusif, dan penghormatan melihat rekaan mereka diabadikan sebagai sebahagian daripada tarikan menara ikonik tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Encik Khairil Faizal Hj Othman, Kay Elle bukan sekadar maskot tetapi sebuah personaliti yang membawa semangat rakyat Malaysia mesra dalam layanan, bangga dengan warisan, dan bersatu dalam kepelbagaian. Beliau menegaskan bahawa pertandingan ini adalah peluang untuk membentuk watak yang mampu menawan hati pengunjung dan menjadi ikon yang diiktiraf di dalam serta luar negara.

Kay Elle, yang memulakan debutnya pada 5 Ogos 2025, digambarkan sebagai mesra, gemar mengembara, dan bangga dengan warisan Malaysia. Nama “Kay Elle” diambil daripada singkatan mesra bagi Kuala Lumpur, menjadikannya mudah diingati oleh pengunjung tempatan dan antarabangsa. Misi utamanya adalah menyambut pelawat dari seluruh dunia, berkongsi kisah tentang Kuala Lumpur Tower, serta menyebarkan semangat Malaysia di pentas global.
Penyertaan pertandingan ini dibuka kepada semua rakyat Malaysia dan akan berakhir pada 30 Ogos 2025. Kuala Lumpur Tower berharap dapat menyaksikan lahirnya rekaan kreatif dan penuh inspirasi yang mampu menjadi rakan ikonik baharu bagi Kay Elle, sekali gus membawa mesej kegembiraan, perpaduan, dan kebanggaan negara ke serata dunia.