Thu. Nov 13th, 2025

Nama Insomniacks sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai kumpulan pop rock pilihan generasi kini apabila tiket konsert jelajah Echoes of a Dream di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Julai lalu habis terjual dalam tempoh singkat. Fenomena yang sama turut tercipta di Singapura apabila persembahan mereka di Capitol Theatre pada 16 Ogos menyaksikan tiket licin hingga ke barisan terakhir, sekali gus membuktikan daya tarikan kumpulan ini tidak terbatas hanya di tanah air.

Lebih menarik, bukan sekadar tiket yang menjadi rebutan, malah barangan cenderahati rasmi kedua-dua konsert turut habis dijual di lokasi acara. Permintaan yang tinggi memaksa pihak pengurusan membuka jualan dalam talian menerusi umusic.my, sekali gus memberi peluang kepada peminat yang tidak berkesempatan hadir untuk tetap memiliki koleksi eksklusif Insomniacks.

Meskipun pernah menduduki carta streaming tertinggi 2024 di Carta RIM, Insomniacks enggan selesa dengan pencapaian lalu. Kejayaan itu sebaliknya dijadikan motivasi untuk terus berkarya dengan lebih matang, membuktikan bahawa mereka komited dalam menjaga kualiti persembahan dan muzik yang dekat di hati pendengar.

Mengiringi kejayaan konsert, kumpulan ini tampil dengan single baharu berjudul Seperti Dulu, yang pertama kali dipersembahkan di Singapura. Lagu tersebut dijadualkan untuk pelancaran rasmi pada 29 Ogos 2025 dan digambarkan sebagai sebuah ‘surat cinta’ buat semua peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sejak awal perjalanan muzik mereka. Menurut anggota Insomniacks, karya ini lahir daripada kejujuran dan keinginan untuk menghargai setiap detik yang dikongsi bersama peminat, tidak kira sejauh mana mereka melangkah dalam hidup.

Dari sudut kreatif, lirik Seperti Dulu ditulis bersama oleh anggota kumpulan sendiri, manakala komposisinya digarap oleh Iqie dengan bantuan Taja dalam proses susunan muzik. Hasilnya adalah sebuah lagu yang bukan sahaja segar, tetapi turut menyelitkan elemen nostalgia yang mengimbas kembali identiti awal Insomniacks, menjadikan karya ini dekat di hati peminat lama mahupun baharu.

Selepas pelancaran rasmi single pada hujung Ogos, Insomniacks akan meneruskan momentum dengan siri promosi di Jakarta pada September. Langkah ini bukan sekadar membuka lembaran baharu dalam kerjaya mereka, tetapi juga menjadi bukti bahawa semangat muzik Insomniacks semakin berkembang merentasi sempadan dan terus menyentuh jiwa pendengar di rantau ini.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *