Astro sekali lagi tampil dengan format program realiti yang segar dan unik menerusi pelancaran Talk To My Manager, sebuah pertandingan hiburan yang menjanjikan emosi, cabaran serta momen penuh mendebarkan. Program ini mengetengahkan hubungan istimewa antara ibu bapa selebriti dan anak mereka sendiri, apabila si anak menjadi penghibur utama manakala ibu bapa berperanan sebagai pengurus yang menentukan hala tuju serta kreativiti setiap persembahan.
Bakal bersiaran bermula 24 Ogos 2025, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) serta boleh distrim menerusi Astro GO dan sooka, Talk To My Manager diraikan sebagai pentas legasi keluarga dalam industri hiburan. Fenomena generasi kedua yang mula menyerlah dalam bidang nyanyian, lakonan, komedi dan tarian menjadi inspirasi utama penghasilan format ini, yang bukan sahaja menonjolkan bakat baharu tetapi turut mengangkat bimbingan, pengorbanan serta cita-cita keluarga sebagai teras kejayaan merentas zaman.
Setiap minggu, pasangan artis dan pengurus keluarga akan berdepan dengan pelbagai cabaran kreatif untuk mengasah kemahiran serta mempersembahkan aksi bertenaga di pentas utama. Penilaian program ini sepenuhnya bergantung pada juri profesional dengan pecahan 60 peratus berdasarkan kreativiti, strategi dan kepimpinan pengurus, manakala 40 peratus lagi diukur melalui kualiti persembahan dan vokal artis. Bagi menambah keterujaan, penonton juga berpeluang memberikan undian secara dalam talian untuk menghadiahkan ganjaran mingguan istimewa seperti peluang persembahan tambahan, penambahan markah atau keistimewaan memilih juri yang memberi komen.
Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, Astro percaya kepada kuasa legasi yang membentuk landskap hiburan. Katanya, generasi kedua kini tampil dengan perspektif segar, dan program ini membuka peluang kepada penonton untuk menyaksikan lebih dekat bagaimana perjalanan bakat muda dibentuk dengan sokongan keluarga. “Kejayaan dalam dunia hiburan tidak hanya bergantung kepada bakat semata-mata, tetapi juga dedikasi, ketahanan serta kepercayaan antara satu sama lain,” jelasnya.

Antara barisan pasangan yang bakal mencuri perhatian musim ini termasuk Siti Saerah & Amad, Ameng & Ammar, Aziz M. Osman & Ara Aziz, Sharifah Shahirah & Auddra, Shuib & Thalita, Sharifah Zarina & Athalia, Ina Naim & Hadie serta Liza Hanim & Marsya. Program ini dikendalikan oleh pengacara legenda Datuk Aznil Hj. Nawawi yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Nil, bersama juri tetap Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal.
Selain konsert mingguan yang berlangsung secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam selama tujuh minggu, Talk To My Manager turut hadir dengan kandungan tambahan. Studio Talk To My Manager yang bersiaran setiap Sabtu jam 10 malam menampilkan persiapan pengurus dan artis sebelum konsert, manakala BTS Talk To My Manager yang disiarkan setiap Rabu jam 8.30 malam memaparkan sorotan di belakang tabir latihan vokal, tarian dan pengurusan persembahan. Program digital khas Talk To My Manager Live+ juga akan disiarkan serentak di laman Gempak, dikendalikan oleh Mika Nabil dan Fiza Frizzy.
Musim sulung ini turut menjalin kerjasama dengan Astro Gempak sebagai Rakan Digital dan SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi. Penonton boleh mengikuti perjalanan penuh drama, kasih sayang dan kreativiti keluarga selebriti ini dengan melanggan Pek Astro One atau meningkatkan pengalaman tontonan melalui penawaran Astro Fibre bersama Pek Hiburan.
Dengan gabungan bakat generasi baharu, legasi keluarga selebriti serta formula pertandingan yang mendebarkan, Talk To My Manager dijangka menjadi fenomena baharu dalam dunia realiti hiburan tanah air, sekali gus menyatukan semangat keluarga dan seni di satu pentas yang penuh makna.