GAGA Entertainment dengan bangganya mengumumkan penganjuran pertandingan nyanyian Megastar Idol 2025 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 September 2025 di Subang Parade, Subang Jaya, Selangor. Edisi kali ini dijalankan dengan kerjasama Subang Parade selaku Rakan Rasmi Lokasi, memperkukuh usaha kedua-dua pihak dalam memartabatkan bakat seni suara tempatan. Sebagai sebuah syarikat penganjur acara yang sentiasa komited terhadap penganjuran program hiburan berkualiti, GAGA Entertainment terus memberi fokus kepada pembangunan bakat baharu melalui platform pertandingan, persembahan, dan kerjasama strategik bersama pemain industri.
Bertemakan “Dari Juara Untuk Bakal Juara”, Megastar Idol 2025 menawarkan platform profesional yang bukan sahaja menjadi medan pencungkil bakat baharu berpotensi besar, malah turut menyediakan peluang pembelajaran secara langsung daripada tenaga pakar industri muzik tanah air. Pertandingan ini akan dikendalikan oleh barisan juri profesional dan berpengalaman, antaranya Idayu AF Megastar selaku penyanyi serta mentor vokal terkenal, Helen Yap yang merupakan komposer, penerbit dan pengarah muzik berpengalaman, serta seorang juri jemputan khas yang akan diumumkan pada hari pertandingan. Kehadiran mereka bakal memastikan setiap peserta menerima panduan teknikal dan maklum balas membina bagi meningkatkan mutu persembahan.

Megastar Idol 2025 turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM3,500 beserta pengiktirafan rasmi, dengan juara membawa pulang RM2,000 bersama trofi dan sijil, naib juara menerima RM1,000 beserta sijil, manakala tempat ketiga memperoleh RM500 beserta sijil. Semua peserta yang bertanding juga akan menerima sijil penyertaan rasmi sebagai tanda penghargaan. Pertandingan ini dibuka kepada warganegara Malaysia berumur 13 tahun ke atas dengan yuran penyertaan RM100 dan kuota penyertaan terhad kepada 50 orang bagi memastikan kualiti pertandingan terjamin. Format pertandingan melibatkan pusingan saringan awal, separuh akhir dan pentas akhir, yang akan berlangsung di pentas utama Subang Parade bermula jam 11.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai Megastar Idol 2025, pendaftaran boleh dibuat dengan menghubungi Nadz di talian 018-9676548 atau melalui laman Instagram rasmi @gaga.entertainment. Dengan gabungan bakat segar, bimbingan juri berpengalaman dan suasana pertandingan yang profesional, Megastar Idol 2025 dijangka menjadi medan penting melahirkan bintang baharu yang bakal mewarnai industri hiburan tanah air.