Sat. Oct 18th, 2025

Kuala Lumpur Tower sekali lagi bakal menjadi pusat perhatian apabila sambutan Malam Ambang Merdeka 2025 diadakan pada 30 Ogos ini dengan pertunjukan bunga api 360 darjah yang pertama seumpamanya dalam sejarah menara ikonik tersebut. Panorama malam ibu kota dijangka memukau pengunjung apabila bunga api dilancarkan serentak dari tiga lokasi berbeza, memberikan pengalaman visual yang tiada tandingan. Acara ini merupakan sebahagian daripada usaha Kuala Lumpur Tower untuk menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, selain menjadi platform untuk meraikan kemeriahan, perpaduan dan kepelbagaian budaya yang menjadi kebanggaan negara.

Bermula dari jam 9.00 malam hingga 12.30 tengah malam, para pengunjung akan disajikan dengan persembahan muzik secara langsung diiringi pemandangan langit Kuala Lumpur yang gemerlapan. Detik kiraan ambang kemerdekaan akan bermula pada jam 11.30 malam, diikuti pertunjukan bunga api yang dijangka menjadi kemuncak malam istimewa ini. Hanya 1,200 pengunjung bertuah akan berpeluang menikmati pemandangan eksklusif dari tiga lokasi tontonan Observation Deck, Sky Terrace dan Tower Terrace.

Tiket bagi acara ini kini boleh didapati di laman rasmi Kuala Lumpur Tower dan dijangka terhad memandangkan permintaan tinggi. Selain pertunjukan bunga api, Malam Ambang Merdeka kali ini turut menjadi sebahagian daripada rangkaian acara patriotik sepanjang bulan Ogos dan September, termasuk Light Up Malaysia Colours of Unity, Pertandingan Lagu Patriotik Gema Merdeka, Pertandingan Padu Tarik & Tebar Canai, serta Sayembara Puisi Kemerdekaan. Kesemua program ini diadakan bagi mengukuhkan semangat perpaduan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Encik Khairil Faizal Hj Othman, pertunjukan bunga api dari tiga lokasi pelancaran ini merupakan yang pertama dalam sejarah Kuala Lumpur Tower, menawarkan pengalaman 360 darjah yang mengagumkan pada malam bersejarah tersebut. Beliau menegaskan bahawa pihaknya berbangga dapat memberikan persembahan terbaik kepada semua pengunjung menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Kuala Lumpur Tower menjemput seluruh rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa untuk bersama-sama meraikan malam penuh warna ini, di mana semangat patriotisme berpadu dengan keindahan langit ibu kota, menjadikan Malam Ambang Merdeka 2025 sebagai satu kenangan yang tidak akan dilupakan.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *