Program realiti hiburan The Chosen One XTRA memasuki minggu ketiga dengan tema “Bussin’ Beats”, menyajikan pelbagai persembahan bertenaga daripada barisan peserta dan ‘coach’ selebriti masing-masing. Minggu ini menampilkan barisan juri tetap Dato’ Awie dan Sharifah Sakinah, manakala kerusi juri jemputan diisi oleh pasangan popular Datuk Yusry Abdul Halim dan Elly Mazlein. Hos terkenal Nabil Ahmad pula mengendalikan pentas dengan gaya bersahaja dan penuh jenaka, menceriakan suasana sepanjang malam.
Persembahan dimulakan oleh Nikki Palikat yang membimbing peserta Iman, 14 tahun, dan Adawiya, 13 tahun, menerusi lagu Pelesit Kota nyanyian asal Search. Namie bersama Ayu, 14 tahun, dan Bella, 16 tahun, pula membawakan gabungan dua lagu Katana dan Awak Kat Mana yang dipopularkan oleh Dinda dan Taufik Batisah. Usop bergandingan dengan Alif, 12 tahun, dan Yusuf, 13 tahun, menghidupkan lagu Kasihnya Laila daripada kumpulan Jinbara dengan sentuhan vokal penuh emosi.
Achey tampil bersama Rayyan, 11 tahun, dan Dahlya, 7 tahun, mempersembahkan Hutang nyanyian Floor 88, manakala gandingan rap mantap Tuju & Loca B bersama Elysha, 15 tahun, dan Fana, 17 tahun, menggegarkan pentas dengan Aku Skandal daripada kumpulan Hujan. Naqiu pula membawa kumpulan Saputra yang terdiri daripada enam bintang cilik – Anas, Aleron, Aaron, Bilal, Aqish dan Syawal menyampaikan Kelentang Kelentong ciptaan Hael Husaini, disusuli persembahan Bunga bersama Nayla, 11 tahun, dan Zahra, 16 tahun, menerusi lagu tradisional moden Dikir Puteri dendangan Noraniza Idris.

The Chosen One XTRA musim ini bukan sekadar menonjolkan bakat nyanyian, malah turut membuka ruang kepada peserta mempamerkan kemahiran lain seperti tarian, akrobatik, serta permainan instrumen muzik. Setiap persembahan diadili sepenuhnya oleh juri selepas tamat persembahan, dengan pemarkahan 100% daripada pihak juri. Program ini turut menawarkan hadiah lumayan, di mana juara akan membawa pulang wang tunai RM40,000 beserta trofi sumbangan Astro. Tempat kedua, ketiga dan keempat masing-masing akan menerima RM30,000, RM20,000 dan RM10,000 beserta trofi.
Pentas akhir The Chosen One XTRA nanti juga akan menobatkan Coach Terbaik dan Persembahan Terbaik, masing-masing dengan hadiah wang tunai RM10,000. Anugerah Persembahan Terbaik akan ditentukan melalui undian penonton di laman web rasmi www.thechosenone.com.my. Minggu ketiga ini membuktikan bahawa program ini bukan sahaja medan pertandingan, tetapi juga pentas yang mengangkat bakat generasi baharu ke tahap lebih tinggi dengan bimbingan selebriti ternama tanah air.