Wed. Nov 5th, 2025

Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) menjadi saksi sebuah malam penuh kasih dan harmoni apabila Atilia Haron berkongsi pentas bersama ibunya, legenda seni suara tanah air Salamiah Hassan, dalam konsert istimewa “Gelombang Bahagiaku”. Anjuran Mujik Wand Production, konsert ini mencatat kejayaan luar biasa apabila tiket habis terjual dan penonton yang memenuhi dewan terpesona dari awal hingga akhir persembahan.

Bagi Atilia, malam tersebut adalah sebuah impian yang menjadi nyata. Sejak kecil beliau menyimpan hasrat untuk menjadi seperti ibunya, dan saat berdiri bersama di pentas utama di hadapan penonton yang penuh menjadi detik yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Baginya, konsert ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia bermula tanpa penaja, namun berkat sokongan keluarga serta rakan-rakan, ia akhirnya terwujud dengan penuh makna. Salamiah pula menyifatkan malam tersebut sebagai hadiah paling indah sepanjang kariernya yang kini mencecah 55 tahun. Beliau mengakui menyanyi bersama anaknya sepanjang konsert adalah detik yang begitu berharga dan berharap akan ada lebih banyak peluang untuk mengulangi momen tersebut di masa hadapan.

Persembahan dimulakan dengan lantunan Atilia menerusi “No Fruits For Today” sebelum disusuli dengan rangkaian lagu-lagu popularnya termasuk “Old Love”, “Rekah”, serta medley “Bodoh” dan “Cinta Sampai Mati”. Beliau turut menghangatkan pentas dengan kolaborasi bertenaga bersama MonoloQue dalam “Kekanda Adinda”, selain mengusik emosi penonton dengan “Bahagiaku” dan deretan lagu lain seperti “Salah Sangka”, “Sangkar”, “Sudah” dan “Selagi”. Sementara itu, Salamiah memukau dengan kepelbagaian genre, daripada irama rancak “I’m So Excited” ke balada syahdu “Surat Terakhir”, hinggalah jazz klasik “Frim Fram Sauce”. Medley lagu-lagu malar segar seperti “Miang Miang Keladi”, “Kau Dan Alasanmu” dan “Antara Dua Kasih” membuktikan kelenturan suaranya masih berbisa, manakala duet romantis bersama Hardy Arbi dalam “Berdebar-Debar Rasa Hati” menambah lagi kehangatan malam.

Suasana semakin berwarna dengan kehadiran Mimifly yang menyertai persembahan melalui medley “Sahabat” dan “Angkat”. Salamiah kemudian kembali dengan deretan lagu ikonik termasuk “Superstar”, “Semut Semut Di Titian Usang”, “Menghitung Hari”, “If You Go Away” dan tentunya lagu wajibnya, “Gelombang”. Detik paling menyentuh hati adalah apabila Atilia dan Salamiah buat pertama kalinya menyampaikan duet “Age Is Just The Number”, yang mendapat tepukan gemuruh berdiri daripada seluruh dewan. Malam itu ditutup dengan persembahan klasik “Empat Dara” bersama Mimifly dan Elvira Arul, menambahkan lagi kemeriahan dan meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.

Lebih menarik, konsert ini turut disemarakkan dengan sambutan peminat yang luar biasa. Merchandise rasmi konsert berupa t-shirt edisi khas sebanyak 100 helai habis terjual dalam sekelip mata, sekali gus menjadi simbol kenangan yang dibawa pulang oleh penonton. Atilia sendiri meluahkan rasa terharu melihat peminat bergambar bersama sambil memakai baju konsert tersebut.

Sebagai seorang legenda yang masih aktif, Salamiah turut menitipkan kata semangat buat generasi muda agar terus belajar, berkarya dan menghargai perjalanan seni. Baginya, meskipun sudah 55 tahun berada dalam industri, proses pembelajaran dalam dunia muzik tidak pernah berhenti. Atilia pula mengakui bahawa malam tersebut telah meniup semangat baharu untuk dirinya kembali aktif di pentas selepas memberi tumpuan kepada perniagaan yoga. Beliau menegaskan bahawa muzik dan kasih sayang keluarga adalah kombinasi yang tidak ternilai serta menjadi sumber kekuatan untuk terus berkarya.

“Gelombang Bahagiaku” bukan sekadar konsert, sebaliknya sebuah perayaan warisan muzik, kasih sayang antara ibu dan anak, serta pengikat memori indah yang merentas generasi. Malam itu akan kekal sebagai salah satu detik paling bersejarah dalam dunia seni tanah air.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *