Thu. Oct 16th, 2025

Program realiti hiburan The Chosen One XTRA kembali dengan musim terbaharu, menampilkan kelainan apabila bukan sahaja memberi tumpuan kepada bakat nyanyian, tetapi turut mengetengahkan kehebatan dalam tarian, akrobatik, permainan instrumen muzik dan pelbagai bakat lain.

Musim ini lebih meriah dengan kehadiran barisan selebriti popular sebagai coach kepada peserta cilik. Antara nama besar yang terlibat ialah Namie, Nikki Palikat, Achey, Tuju & Loca B, Bunga, Usop dan Naqiu. Setiap persembahan peserta bersama pasangan selebriti mereka akan dinilai sepenuhnya oleh juri sejurus selepas persembahan tamat.

Pentas akhir bakal menyaksikan perebutan hadiah utama berupa wang tunai RM40,000 beserta trofi sumbangan Astro. Pemenang tempat kedua, ketiga dan keempat turut tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, RM20,000 dan RM10,000 berserta trofi.

Selain itu, pentas akhir turut menobatkan Coach Terbaik dan Persembahan Terbaik, masing-masing dengan hadiah wang tunai RM10,000. Pemenang anugerah Persembahan Terbaik akan ditentukan melalui undian penonton di laman web rasmi program, www.thechosenone.com.my.

Barisan juri musim ini terdiri daripada Dato’ Awie dan Sharifah Sakinah, manakala Jaclyn Victor hadir sebagai juri jemputan. Program ini dikemudikan oleh hos versatil, Nabil Ahmad. Dengan tema “No Cap! All Fire!”, The Chosen One XTRA menjanjikan hiburan penuh tenaga serta pementasan kreatif yang bakal memukau penonton di seluruh negara.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *