TanahAir Films Sdn. Bhd. mengumumkan langkah strategik untuk mentransformasikan Konsert Legasi P. Ramlee, salah satu acara utama di bawah inisiatif Projek Perdana P. Ramlee, menjadi sebuah festival seni dan budaya berskala nasional. Perubahan ini disokong penuh oleh pelbagai kementerian, sektor korporat serta rakan penaja strategik, yang melihatnya sebagai platform penting untuk memartabatkan warisan negara dan menghubungkan seni, budaya serta industri kreatif.
Festival yang bakal berlangsung pada tahun 2026 itu akan hadir dengan format baharu yang lebih meriah, inklusif dan berimpak tinggi. Tidak lagi sekadar persembahan satu malam, acara ini akan memanfaatkan konsep festival yang memberi ruang kepada pelbagai bentuk pengisian seni, termasuk persembahan orkestra, penampilan artis terkemuka serta aktiviti interaktif yang melibatkan masyarakat secara lebih luas.
Pengarah Eksekutif TanahAir Films, Dato’ Khairul Anwar Salleh, menegaskan bahawa penangguhan ini adalah langkah berani untuk memastikan penganjuran yang lebih mantap dan mampu membina sebuah jenama budaya nasional yang mampan. Menurut beliau, format festival membuka peluang lebih luas untuk penyertaan jenama, pengaktifan kreatif, kempen sosial serta penyebaran mesej nasional yang menyeluruh.

Pengarah Kreatif Festival, Adlin Aman Ramlie, pula melihat transformasi ini sebagai peluang untuk membawa kembali roh dan semangat P. Ramlee dalam pelbagai dimensi. “Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar seorang seniman. Beliau adalah suara bangsa, pemikir zaman dan simbol nilai serta semangat yang berani menyentuh isu dan rasa masyarakat. Pendekatan baharu ini akan menjadikan legasi beliau lebih dekat dengan generasi masa kini,” katanya.
TanahAir Films turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, penaja dan rakan media yang telah setia menyokong Projek Perdana P. Ramlee sejak awal. Mereka memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul akibat penangguhan ini, sambil menegaskan bahawa matlamat utama adalah memastikan festival tersebut menjadi acara seni dan budaya yang benar-benar memberi impak serta dikenang sepanjang zaman.
Pihak Ticket2U akan menghubungi semua pembeli tiket sedia ada dalam tempoh tiga minggu untuk menguruskan penukaran tarikh, pilihan naik taraf atau bayaran balik. Maklumat terkini dan kandungan eksklusif mengenai festival ini akan dikongsi melalui laman rasmi dan saluran media sosial @konsertlegasipramlee di Facebook, Instagram dan TikTok.