Tue. Oct 14th, 2025

Dunia fesyen tempatan bakal menyaksikan detik kemuncak yang cukup unik dan penuh warna apabila pentas akhir Cat Fashion Week, pertandingan fesyen si bulus pertama di televisyen tempatan, berlangsung pada Ahad, 17 Ogos 2025, jam 9.00 malam di TV3. Setelah mencuri perhatian menerusi segmen khas dalam program Nona dan kapsul eksklusif berdurasi 10 minit, acara ini bersedia menutup tirai dengan persembahan yang memukau, sarat dengan kreativiti, kasih sayang dan gelagat comel para peserta berbulu.

Pentas akhir ini menjanjikan pelbagai penampilan yang memikat hati, daripada busana puteri yang anggun, konsep berani seperti juruterbang dan pemandu litar, hinggalah rekaan yang membawa penonton ke zaman klasik Mesir Purba. Setiap ‘meow-del’ bukan sekadar berjalan di pentas peragaan, tetapi tampil dengan tema, aksesori dan gimik kreatif yang mencerminkan personaliti masing-masing, diiringi paparan LED, muzik dan sorakan penonton yang membangkitkan suasana meriah.

Puan Marlia Zul Amran, Pengurus Besar Kandungan TV3, menyifatkan penerimaan penonton terhadap program ini sangat menggalakkan sejak episod pertama. Menurut beliau, konsep segar yang menggabungkan elemen kekeluargaan, empati terhadap haiwan, serta kreativiti telah mencetuskan perbualan positif dalam kalangan pencinta kucing di seluruh negara. Cat Fashion Week bukan sahaja menjadi medan hiburan, malah turut memupuk kesedaran tentang tanggungjawab menjaga haiwan peliharaan.

Barisan juri profesional turut memeriahkan malam kemuncak ini, termasuk selebriti pemilik kucing terkenal, Mark Adam dan Shiha Zikir, pengasas serta pakar dandanan kucing Mohd Jeffrey daripada MJMA Academy, dan pereka fesyen ternama Rizman Nordin. Penilaian mereka merangkumi aspek fesyen, kreativiti, persembahan, penjagaan kucing, serta keserasian antara peserta dan si bulus mereka, memastikan penjurian yang adil dan berkualiti.

Malam kemuncak ini turut diwarnai dengan persembahan istimewa oleh Sophia Liana dan Shiha Zikir, menambahkan lagi seri acara yang menggabungkan fesyen, muzik dan gelagat comel si bulus. Di luar pentas, pelbagai aktiviti mesra keluarga turut diadakan, termasuk program adopsi kucing oleh Furever Friends dan Kelab Kucing Malaysia, face painting, pembuatan keychain DIY, serta seni kraf shrink art.

Pemenang utama Cat Fashion Week bakal membawa pulang wang tunai RM5,000, diikuti naib juara dengan RM3,000, tempat ketiga RM2,000, manakala peserta di tempat keempat hingga kelapan masing-masing menerima RM1,000. Selain itu, Anugerah FELIX Si Bulus Paling Memikat akan diberikan kepada kucing yang meraih undian tertinggi.

Acara ini dibawakan oleh penaja utama PURINA FELIX dengan slogan “Rasa Memikat, Kucing Buat Apa Saja!”, bersama rakan radio rasmi Hot FM dan rakan digital rasmi SAYS. Dengan gabungan fesyen berani, kasih sayang tulus, dan kecomelan yang tiada tandingan, malam kemuncak Cat Fashion Week pastinya menjadi tontonan wajib bagi setiap pencinta kucing di Malaysia.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *