Dunia hiburan tempatan terus menyaksikan perkembangan baharu dengan pelancaran platform penstriman digital eksklusif (OTT) bernama UTV yang tampil dengan tagline “Stream For You”. UTV diperkenalkan oleh Usanita Sdn Bhd sebagai ruang hiburan moden yang tidak hanya menayangkan karya berkualiti, tetapi juga membuka peluang kepada bakat kreatif tempatan untuk mengembangkan potensi mereka ke peringkat lebih luas.
Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Dato Sri Dr. Hasan atau lebih mesra dikenali sebagai Datuk Nana menjelaskan, platform ini lahir daripada pengalaman panjang Usanita dalam industri seni tempatan dan kerjasama rapat dengan stesen TV antarabangsa. Menurutnya, setiap karya seni adalah cerminan budaya dan warisan bangsa, justeru UTV diwujudkan bukan sekadar sebagai platform hiburan tetapi sebagai medium yang memberi ruang kepada idea baharu untuk direalisasikan.
Datuk Nana menekankan bahawa ramai kreator, penulis skrip dan penerbit muda mempunyai jalan cerita yang hebat tetapi terhalang kerana tiada peluang menayangkannya. UTV hadir untuk mengubah keadaan itu dengan membuka pintu pitching kepada semua, sama ada syarikat produksi besar, penerbit bebas mahupun penulis skrip baharu. Melalui ruang ini, setiap idea akan diberi peluang untuk dinilai, dibimbing dan dibawa ke skrin. “Kami percaya setiap naskhah mempunyai nilai tersendiri, dan dengan peluang yang tepat, karya tersebut mampu berkembang menjadi legasi,” ujar beliau.

Bagi memudahkan penonton, UTV memperkenalkan model Pay Per Content, yang memberi kebebasan kepada pengguna untuk memilih kandungan mengikut minat tanpa perlu melanggan pakej penuh. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan setiap karya lebih eksklusif, malah membolehkan penonton menyesuaikan pilihan mereka mengikut cita rasa.
Apa yang menjadikan UTV berbeza daripada platform penstriman lain ialah kesediaannya menerima idea terus daripada orang ramai. Kreator yang ingin mencuba boleh menghantar sinopsis atau cadangan mereka melalui e-mel support@utv.com.my atau melalui media sosial rasmi UTV di Instagram @utv.official dan TikTok @utvoriginal. Dengan kaedah ini, UTV yakin dapat mencungkil lebih banyak bakat baharu dan melahirkan karya asli tempatan yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa.
Dalam menawarkan variasi kandungan, UTV membariskan lima segmen utama yang memenuhi kehendak penonton dengan pelbagai pilihan genre. Penonton boleh menikmati drama dan telefilem eksklusif melalui UTV Original, diikuti dengan konsert dan persembahan istimewa menerusi UTV Music. Selain itu, UTV turut memperkenalkan kandungan perbincangan melalui UTV Podcast, program bual bicara santai menerusi UTV Talkshow, serta gabungan hiburan dan ilmu melalui UTV Smart.
Dengan pelancaran ini, UTV bukan sahaja muncul sebagai sebuah platform penstriman baharu, tetapi juga sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri seni Malaysia. Ia membuka ruang kepada idea segar, mengangkat karya tempatan dan memperkukuh kedudukan hiburan digital negara di persada dunia.