Wed. Oct 29th, 2025

Industri muzik tanah air kembali meriah dengan kelahiran sebuah karya duet yang penuh emosi apabila penyanyi bersuara lunak dari Sabah, Jaclyn Chia, bergandingan bersama rapper versatil, Yunk G, dalam single terbaharu berjudul “Redam”. Lagu ini membawa pendengar menyelami dunia balada introspektif yang sarat dengan elemen akustik dan rap, menyatukan dua dunia muzik berbeza dalam satu naratif sonik yang menyentuh jiwa. “Redam” bukan sekadar sebuah lagu cinta, tetapi kisah tentang luka batin, trauma emosi, dan keberanian untuk terus berdiri meskipun hati telah lama retak.

Bagi Jaclyn Chia, karya ini begitu peribadi dan bermakna. Menurutnya, “Lagu ini sangat sayu dan dekat di hati saya. Ia seperti menulis sepucuk surat kepada diri sendiri yang sedang terluka, namun tetap mahu terus hidup walaupun sukar.” Penyanyi yang pernah muncul dengan lagu berentak Joget Moden Kontemporari berjudul “Joget Mengikut Rasa” ciptaan Shaifulhan dan lirik oleh S. Amin Shahab itu, sebelum ini juga berjaya mencatat pencapaian gemilang apabila dinobatkan sebagai Juara RTM Kemuncak Bintang Ai FM 2024.

Single “Redam” dihasilkan dengan sokongan Kementerian Komunikasi Malaysia menerusi Dana Kreatif (MyCreative Ventures) sebagai usaha memartabatkan karya seni anak tempatan. Lagu ini digarap oleh komposer berbakat, Shaiffulhan Saidin, dengan lirik penuh perasaan ditulis oleh D’Laila, manakala Zirbad Music Production bertindak sebagai penerbit. Pengedaran digital pula dikendalikan oleh label berpengalaman, Luncai Emas. Menurut Shaiffulhan, penyatuan vokal lembut Jaclyn bersama rap lantang Yunk G melahirkan sebuah dimensi muzik yang mampu menyentuh hati, seolah-olah meredam luka yang terpendam.

Bagi Yunk G atau nama sebenarnya AG Sri Iskandar Bahrin, lagu ini menjadi ruang untuknya menyampaikan mesej yang jujur. “Saya percaya muzik tidak seharusnya berpura-pura. Dalam ‘Redam’, saya mahu mewakili suara mereka yang sering menutup luka kerana takut dianggap lemah. Melalui rap, saya ingin tunjukkan bahawa luka itu nyata, tetapi kita masih boleh berdiri,” katanya. Yunk G sebelum ini aktif di pentas muzik dengan pelbagai single, termasuk kolaborasi berjudul “Aku Shot”, OST filem Adiwira terbitan Ajai, di bawah Wake The Baby Records.

Lebih menghidupkan lagi perjalanan emosi lagu ini, video muzik rasmi “Redam” yang dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas tampil dengan visual puitis penuh simbolisme. Ia memaparkan perjalanan seseorang yang cuba melepaskan diri daripada bayang-bayang silam, membawa penonton merasai intensiti naratif yang dibawa dalam lirik dan melodi.

Kini, “Redam” boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube. Sebuah karya yang tidak hanya menjadi hiburan, tetapi juga sebuah terapi jiwa untuk mereka yang pernah terluka, Jaclyn Chia dan Yunk G melalui “Redam” membuktikan bahawa muzik mampu menjadi bahasa penyembuhan yang paling indah.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *