Wed. Oct 15th, 2025

Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) kini kembali dengan edisi keempat, yang akan berlangsung dari 28 hingga 30 November 2025 di Shah Alam Convention Centre (SACC). Tahun ini, KRU Studios Sdn. Bhd. dilantik sebagai pengurus acara rasmi, manakala penganjurannya diterajui oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU). Dengan pengisian program strategik serta hiburan berkualiti tinggi, SELBIZ 2025 dijangka menyajikan pengalaman yang lebih meriah berbanding sebelumnya.

Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Yuzawati Yusof, menyatakan bahawa SELBIZ 2025 disasarkan untuk menjadi platform utama dalam pemadanan perniagaan antara syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan, agensi kerajaan serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Tujuan utama penganjuran ini bukan sahaja untuk pasaran domestik, tetapi juga untuk memperluas ke pasaran antarabangsa. Beliau menekankan bahawa tema “Festival Inovasi” dan pelbagai aktiviti yang dirancang diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung sambil menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam memajukan perniagaan PMKS.

Pada tahun ini, SELBIZ 2025 membawa pengisian baharu yang lebih menarik termasuk zon pempamer berteknologi tinggi, konsert imersif selama tiga hari, program “Family Fun Run”, pertandingan e-Sukan serta pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga. Tarikan utama termasuk Konsert Gempak SELBIZ yang menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Haqiem Rusli, Adira Suhaimi, Black Hanifah, Nabila Razali, Zarul Umbrella dan ramai lagi. Selain hiburan muzik, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan maskot watak animasi terkenal seperti Didi & Friends dan Umar & Hana, serta maskot baharu Zan Orangutan dan Kikako Kids.

Dato’ Norman Abdul Halim, selaku Pengurus Acara SELBIZ 2025, menyatakan bahawa edisi kali ini menjanjikan kelainan melalui strategi penjenamaan dan kandungan program yang lebih segar. Pengunjung bukan sahaja dapat berhibur dan bersukan, tetapi turut berpeluang menikmati tawaran istimewa daripada pempamer serta hadiah cabutan bertuah yang akan diumumkan sepanjang acara berlangsung.

SELBIZ merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui BPU sebagai platform untuk memperkukuh pasaran, meningkatkan daya saing, serta memperluas jaringan perniagaan bagi PMKS. Pada tahun lalu, SELBIZ mencatatkan kejayaan memberangsangkan dengan kehadiran lebih 36,000 pengunjung dan penyertaan 200 usahawan, menghasilkan jualan melebihi RM3.55 juta.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai SELBIZ 2025, pengunjung boleh melayari laman web rasmi di www.selbiz.my atau mengikuti platform media sosial SELBIZ di Instagram, Facebook, dan TikTok untuk perkembangan terkini.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *