Tue. Oct 14th, 2025

Program terbaharu Astro, Talk To My Manager (TTMM) berjaya mencuri tumpuan penonton sebaik sahaja episod sulungnya bersiaran pada 24 Ogos lalu di Astro Ria (saluran 104) jam 9 malam. Membawakan konsep legasi hiburan keluarga, rancangan ini mengetengahkan pertembungan pasangan ‘anak-beranak’ yang bukan sahaja aktif dalam industri seni tempatan, malah sudah mempunyai empayar dan jenama tersendiri.

Apa yang menjadikan TTMM berbeza adalah pendekatannya yang bukan sekadar hiburan kosong. Program ini membuka ruang buat penonton untuk menyelami ilmu di sebalik dunia hiburan, khususnya dalam bagaimana bakat si anak diurus dan dibentuk oleh ibu atau bapa yang bertindak sebagai pengurus. Antara pasangan yang mengambil bahagian ialah Siti Saerah bersama Amad, Sharifah Shahirah dengan anaknya Audrra, Sharifah Zarina dan Athalia, Liza Hanim bersama Marsya, serta Ina Naim dan Hadie. Turut menyertai ialah pasangan bapa dan anak seperti Ameng dan Ammar, Shuib dengan Thalita, selain pengarah terkenal Aziz M. Osman yang berganding dengan anaknya, Ara Aziz.

Namun, perhatian penonton tidak hanya tertumpu kepada para peserta. Kehadiran pasangan sensasi Dato Alif Syukri dan anak lelakinya Ammar Ahyan, atau lebih dikenali sebagai Ammayan, telah menambahkan lagi seri pada rancangan. Walaupun mereka bukan peserta, gandingan dua beranak ini sebagai pengendali Post Mortem TTMM yang bersiaran selepas rancangan utama pada jam 11 malam jelas mencuri perhatian.

Perbezaan karakter antara keduanya menjadikan rancangan itu ‘pecah teruk’. Alif dengan gaya bersahaja dan sering kali tersasul ketika mengacara mencetuskan suasana gamat, manakala Ammayan tampil lebih tenang, serius dan fokus membaca skrip ketika berbicara dengan peserta. Gabungan kontras itu ternyata menghiburkan warganet yang membanjiri media sosial dengan pelbagai reaksi lucu. Antara momen yang tular termasuk ketika Ammayan secara spontan memberi salam kepada Datuk Syafinaz sewaktu beliau sedang memberi komen, selain gelagatnya tetap memanggil Liza Hanim sebagai “puan” mengikut kad pengacara walaupun diminta untuk menggunakan panggilan “aunty”.

Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh menyifatkan pemilihan Alif Syukri dan Ammayan sebagai hos Post Mortem TTMM sebagai langkah tepat. Menurutnya, gandingan itu bukan sahaja mempunyai aura yang serasi dengan konsep program, malah nilai kekeluargaan serta interaksi mereka yang bersahaja telah berjaya memikat hati penonton. Tambah beliau, perbezaan karakter antara Alif yang penuh dengan kecoh dan kelakar, serta Ammayan yang masih kekok tetapi bersungguh-sungguh, menjadikan rancangan lebih dekat dengan penonton.

Dengan penjurian 100% berdasarkan markah daripada juri tetap iaitu Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal, Talk To My Manager terus menawarkan sebuah pengalaman hiburan keluarga yang segar. Penonton yang terlepas siaran juga boleh menonton semula TTMM melalui platform penstriman Astro GO dan Soaka.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *