Pentas akhir Cat Fashion Week semalam melakar sejarah tersendiri apabila Nor Anis Halyatie bersama kucing baka ragdoll peliharaannya, Evian, muncul sebagai juara pertama Super ‘Meow-Del’ Malaysia. Dengan persembahan penuh karisma berkonsepkan “royalty”, Evian menewaskan tujuh finalis lain dan membawa pulang hadiah berupa trofi serta wang tunai bernilai RM5,000.
Sorakan penonton memecah ruang auditorium apabila lapan ‘meow-nalist’ Juny, Omey, Goyem, Chibbu, Evian, Winter, Kristoff dan Mocha melangkah ke pentas peragaan dengan penuh gaya. Setiap peserta tampil dengan kreativiti luar biasa, menggabungkan rekaan fesyen, kisah peribadi dan ikatan kasih sayang bersama kucing kesayangan mereka, menjadikan acara ini lebih daripada sekadar pertunjukan fesyen biasa. Ada pemilik yang sanggup berbelanja besar untuk busana jahitan tangan bernilai ribuan ringgit, manakala ada juga yang menghasilkan sendiri aksesori dan props unik yang diinspirasikan daripada warna bulu serta karakter kucing mereka.
Evian menjadi bintang utama dengan gaya seorang raja di singgahsana. Busana jubah baldu rona biru gelap dengan hiasan manik emas menyerlahkan keanggunannya, disesuaikan dengan warna mata Evian yang menawan. Menurut Anis, kemenangan itu sesuatu yang tidak disangka kerana penyertaan mereka pada awalnya hanya sekadar suka-suka. Beliau mengakui konsep “royalty” amat bertepatan dengan karakter Evian yang tegas tentang ketepatan masa, terutamanya waktu makan. “Hadiah kemenangan ini mungkin akan saya raikan dengan memberi Evian ayam rebus kegemarannya,” katanya berseloroh.
Naib juara pula menjadi milik Juny, si ratu gebu yang mempesona dengan gaun merah mewah hasil jahitan tangan suami pemiliknya, Nur Farahin, manakala tempat ketiga diraih Chibbu bersama pemiliknya, Sharifah Nurulawwal, dengan persembahan bertema Mesir Purba lengkap dengan kostum gemerlapan dan props padang pasir yang dramatik. Anugerah khas FELIX atau Si Bulus Paling Memikat disandang oleh Goyem, milik Siti Rohani, yang tampil bergaya ala koboi dengan topi songket serta gimik istimewa keluar daripada kotak di atas pentas.

Finalis lain turut memukau dengan konsep masing-masing. Omey tampil ala pelumba F1 dengan kereta mainan khas, Winter menyerlah dalam konsep futuristik glamor dengan aksesori emas, Kristoff memikat sebagai kapten pesawat dengan penampilan 2-in-1 sebagai “Catman”, manakala Mocha menghidupkan fantasi puteri dongeng bersayap rama-rama.
Pengurus Besar Kandungan TV3, Puan Marlia Zul Amran, menyifatkan usaha para peserta sebagai luar biasa kerana semua konsep datang daripada kreativiti mereka sendiri. Beliau menyamakan kesungguhan mereka dengan persiapan besar setaraf Anugerah Juara Lagu. Beliau juga menegaskan program ini bukan sahaja menghiburkan tetapi mampu memupuk rasa sayang terhadap haiwan dan memperkukuh hubungan antara pemilik serta kucing kesayangan.
Barisan juri yang terdiri daripada Mohd Jeffrey, Mark Adam, Shiha Zikir dan pereka fesyen terkenal Rizman Nordin memberikan penilaian berdasarkan kreativiti, keunikan serta kesihatan kucing. Menurut Mohd Jeffrey, faktor kesihatan bulu dan kulit kucing turut diambil kira, sementara Shiha Zikir menganggap pertandingan ini sebagai pengalaman baharu yang menyeronokkan serta wajar dijadikan acara tahunan. Rizman pula kagum dengan tahap kreativiti peserta, manakala Mark Adam menilai penganjuran ini sebagai langkah bijak memanfaatkan populariti kucing dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Cat Fashion Week merupakan program realiti pertama seumpamanya di TV3 yang menggabungkan elemen fesyen, hiburan dan kecintaan terhadap kucing. Lebih daripada sekadar pertandingan, acara ini menyerlahkan keakraban manusia dengan haiwan peliharaan, sambil membuktikan si bulus juga mampu menjadi bintang yang mencuri hati penonton. Dengan kejayaan penganjuran musim sulung ini, Cat Fashion Week diyakini akan terus menjadi fenomena baharu dalam dunia hiburan Malaysia.