monoloQue Buka Tirai 2025 dengan Villa Marhaen (Mereka Vs Kami). monoloQue membuka lembaran baharu dalam dunia muzik tempatan tahun 2025 dengan melancarkan single terbaharu berjudul Villa Marhaen (Mereka Vs Kami). Karya ini hadir sebagai pembuka jalan kepada album penuh ketiga mereka yang dinamakan Tunjuk Langit. Menyulam realiti sosial melalui bingkai alegori puitis, lagu ini menandakan kesinambungan monoloQue dalam memperjuangkan tema rakyat dan kehidupan marhaen melalui bahasa muzik yang penuh simbolisme.
Terinspirasi daripada sajak ikonik Marhaenville karya Sasterawan Negara A. Samad Said, loQue selaku arkitek utama monoloQue mengolah semangat dan makna daripada puisi tersebut ke dalam bentuk baharu: Villa Marhaen. Jika Marhaenville membawa nada sarkastik, Villa Marhaen pula menenun naratif sebagai refleksi perbezaan kelas – sebuah alegori tentang jurang antara rakyat dan golongan elit. “Villa Marhaen adalah alegori, pandangan kias tentang dua darjat. Bukan untuk menghukum, tetapi membiarkan pendengar menafsirnya sendiri. Siapa makan cili, dia yang rasa pedas,” ujar loQue.
Secara teknikal, Villa Marhaen mengekalkan identiti bunyi eksperimental yang sinonim dengan monoloQue – ketukan dram yang hampir ritualistik, petikan gitar yang berlapis antara realisme dan surealisme, serta vokal yang bergema seperti suara rakyat yang jarang didengar. Lebih menarik, lagu ini turut menampilkan suara kanak-kanak daripada Kumpulan Nasyid Farabi sebagai sentuhan latar, menambahkan dimensi “suara rakyat” dalam karya.

Herda ‘Geroda’, pemain bass monoloQue, menyifatkan komposisi lagu ini mencabar tetapi menonjolkan sisi loQue yang lebih bebas dalam berkarya. “Dalam album terbaharu ni, loQue lebih ‘lepas’ – bebas mencurahkan segala rasa dan idea tanpa batasan,” katanya. Bagi Bakri ‘Halia’ Ismail, pemain dram, Villa Marhaen lebih “berjiwa rakyat” dengan rentak joget yang mudah diikuti, menjadikan lagu ini mesra pentas dan penuh ruang sing-along untuk dinyanyikan bersama penonton. Sementara itu, Loko, dram senior kumpulan, menekankan bahawa lagu ini membawa kritikan sosial yang tajam, meskipun masih mengekalkan DNA muzik monoloQue.
Dari segi komposisi, Villa Marhaen menampilkan latar eksotik dengan elemen bunyian Timur Tengah, mewujudkan suasana padang pasir yang gersang tetapi sarat daya tarikan. Gabungan imej “villa” dengan simbol rakyat “marhaen” menzahirkan pertembungan dua dunia – kayangan dan bumi – bukan sekadar konsep, tetapi dihayati dalam setiap lapisan muzik. Di sebalik melodi yang merdu, terselit sindiran sosial yang halus, menjadikan lagu ini lebih daripada sekadar hiburan; ia sebuah cermin yang mengajak pendengar merenung dan menyoal realiti.
Villa Marhaen hadir sebagai kesinambungan monoloQue terhadap jalur “lagu untuk rakyat daripada rakyat”. loQue menyebut pendekatan ini sebagai “musik kiasan rakyat” – iaitu suara marhaen yang dibingkai melalui simbol dan seni, bukan slogan kosong. Lagu ini juga membuka laluan kepada album penuh Tunjuk Langit, yang bakal mempersembahkan spektrum bunyi luas, daripada dangdut, joget, balada piano hingga eksperimentasi elektronik.
Dengan Villa Marhaen, monoloQue membuktikan seni muzik mampu menjadi jendela tafsiran – lorong antara suara rakyat dan gema kuasa, antara ilusi kemewahan dan realiti marhaen. Atau seperti yang diungkapkan loQue sendiri: “Villa Marhaen sebuah karya yang sarat dengan sindiran sinis, kiasan dan satira. Baca kontrak sebelum sign.”