Peminat K-pop di Malaysia akhirnya dapat melepaskan rindu apabila kumpulan popular VIVIZ yang dianggotai oleh Eunha, SinB dan Umji bakal membuat penampilan sulung mereka di tanah air. Kehadiran ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah dunia kedua mereka yang dinamakan 2025 VIVIZ WORLD TOUR [NEW LEGACY] in MALAYSIA, dianjurkan oleh TopGallant Show. Konsert bersejarah ini dijadual berlangsung pada 25 Oktober 2025 (Sabtu), bermula jam 5 petang di Idea Live Arena.
Bagi peminat setia yang digelar Na.V, detik ini pastinya dinanti-nantikan kerana ia bukan sahaja menandakan kemunculan pertama VIVIZ di Malaysia, tetapi juga hadir dalam tahun penuh bermakna buat trio berbakat ini. Selepas meraikan ulang tahun ke-10 bersama bekas kumpulan mereka, GFRIEND, VIVIZ semakin menyerlah dengan pelancaran album studio pertama berjudul A Montage of ( ). Album ini menampilkan lagu utama La La Love Me serta persembahan solo setiap ahli iaitu Hipnotic oleh SinB, Love Language oleh Umji dan Milky Way oleh Eunha.
VIVIZ yang merupakan singkatan kepada “Vivid dayZ” mula mencuri perhatian sejak debut pada tahun 2022 di bawah naungan BPM Entertainment dengan single sulung Bop Bop! daripada mini album pertama Beam of Prism. Dalam tempoh seminggu sahaja selepas debut, kumpulan ini sudah pun mencatat kemenangan dalam program muzik, sekali gus membuktikan populariti luar biasa mereka. Mereka juga mencipta sejarah sebagai kumpulan wanita K-pop pertama yang membuat persembahan dalam Global Spin anjuran Grammy, selain mencuri perhatian dunia melalui penampilan dalam rancangan realiti Queendom 2.

Sejak itu, nama VIVIZ terus mekar dengan siri mini album yang berjaya menambat hati peminat antaranya Summer Vibe (2022), VarioUS dan VERSUS (2023), serta VOYAGE (2024). Lagu-lagu popular seperti MANIAC, Untie, Shhh!, PULL Up dan banyak lagi menjadi antara karya yang sering dimainkan di kalangan peminat global.
Bagi peminat Malaysia yang ingin menyaksikan persembahan penuh bertenaga ini, tiket konsert akan mula dijual pada 4 September 2025 (Khamis) jam 12 tengah hari melalui laman web my.bookmyshow.com, Fantopia, Ctrip dan Trip.com. Harga tiket bermula daripada RM338 hingga RM738, bergantung kepada kategori tempat duduk, dengan pelbagai manfaat eksklusif untuk pembeli termasuk sesi Sound Check, Hi-Bye, barangan eksklusif, serta peluang memiliki poster atau polaroid bertandatangan.
Dengan populariti yang semakin meningkat, kehadiran VIVIZ ke Malaysia dijangka menjadi salah satu konsert K-pop paling ditunggu-tunggu tahun ini. Para peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman rasmi www.topgallantshow.com atau mengikuti akaun media sosial rasmi TopGallant Show di TikTok, Instagram dan Facebook untuk sebarang pengumuman terkini.