Dalam sebuah kisah penuh drama dan intrik, hubungan suami isteri antara Eijaz (Jazmy Juma) dan Aira (Tracie Sinidol) mula tergugat apabila Sarip (Zarif Ghazzi), seorang rakan lama Aira, semakin berani campur tangan dalam urusan rumah tangga mereka. Apa yang pada mulanya dianggap pertemuan biasa berubah menjadi titik mula kegusaran bagi Eijaz apabila Sarip mula mengambil alih ruang yang sepatutnya milik suaminya.
Situasi ini bukan asing bagi ramai pasangan yang mengalami gangguan dari orang ketiga yang secara halus merampas perhatian dan kepercayaan dalam perhubungan. Drama popular “Hilang Dalam Rindu” yang sedang trending di Malaysia dan Indonesia, memaparkan konflik ini dengan begitu realistik sehingga membuat penonton turut merasa tidak senang melihat Sarip yang semakin dominan dalam kehidupan Aira. Bahkan, ada kalanya Sarip kelihatan seperti suami sebenar di sisi Aira.
Ketegangan memuncak dalam episod 12 terbaru apabila berlaku kejadian rumah Aira dipecah masuk. Dalam keadaan cemas, Teah, sahabat baik Aira, menghubungi Sarip terlebih dahulu, bukan Eijaz. Eijaz yang tiba lebih awal terkejut dan kecewa apabila Sarip turut muncul tidak lama kemudian. Keadaan bertambah tegang apabila Sarip mula menunjukkan rasa curiga terhadap Eijaz, malah menuduh Eijaz sebagai dalang di sebalik insiden tersebut. Lebih mengejutkan, Sarip memanggil ketua kampung atas alasan menjaga keselamatan Aira, tindakan yang jelas mengikis kedudukan Eijaz sebagai suami.

Sarip semakin mengambil alih peranan yang sepatutnya diisi oleh Eijaz. Dia tahu selera Aira, memahami emosi dan sentiasa mengungkit kenangan manis yang membuatkan Aira tersenyum. Dengan kehadiran dan perhatian yang konsisten, Sarip menanam rasa ragu dalam hati Aira terhadap kemampuan Eijaz untuk melindunginya. Eijaz pula mula keliru, hilang arah dan berasa terpinggir.
Puncak konflik berlaku apabila Eijaz nekad melarang Aira bertemu dengan Sarip. Namun, Sarip terus mencari ruang untuk mendekati Aira, perlahan-lahan mengikis kepercayaan dan menimbulkan keraguan. Kini, persoalan besar yang menghantui peminat drama ini: mampukah Eijaz mempertahankan tempatnya di hati Aira, atau adakah Sarip akan berjaya mencuri perhatian bahkan cinta Aira?
Saksikan “Hilang Dalam Rindu” setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Slot Samarinda, sebuah drama penuh misteri yang menguji kesetiaan, kepercayaan, dan maruah. Jangan ketinggalan menonton episod baharu 24 jam lebih awal melalui platform Tonton di http://www.tonton.com.my.