Pesta dan karnival keluarga mampan terbesar, BMC Family 360° dengan tema “A Step to the Future”, bakal membuka tirai di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras dari 19 hingga 21 September 2025. Acara yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam ini dianjurkan oleh AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi. Ia merupakan acara keluarga berskala besar yang pertama kali diadakan di kawasan ini, menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG), BMC Family 360° memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh nilai kekeluargaan, membina komuniti mampan serta mempromosikan gaya hidup pintar. Para pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti interaktif, pameran, pertunjukan dan hiburan yang disusun khas untuk menggabungkan elemen pendidikan dengan keseronokan.
Nabila Razali yang dipilih sebagai jurucakap rasmi acara ini turut menyatakan keterujaannya. Sebagai ikon generasi muda yang aktif dan berpengaruh, beliau mengakui semakin giat membuat persiapan selain mempraktikkan elemen SDG dalam kehidupan seharian. Nabila berkata bahawa peranannya bukan sahaja untuk menghiburkan para pengunjung melalui persembahan, malah turut membawa misi menyebarkan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup mampan. Beliau sendiri sudah mula mengamalkan perubahan kecil dalam kehidupan seperti menjaga kesihatan, memberi keutamaan kepada pendidikan, menggunakan air dan elektrik dengan lebih berhemah serta memastikan persekitaran yang sihat untuk keluarga.
Menurut Nabila, usaha tersebut sebenarnya tidak sukar jika dimulakan dengan kesungguhan. Bagi beliau, acara BMC Family 360° adalah peluang terbaik untuk mengajak lebih ramai individu menyedari pentingnya SDG dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Walaupun tanggungjawabnya besar, beliau mengakui berasa bangga kerana dapat menyampaikan mesej yang bermanfaat untuk semua dan dalam masa sama mempelajari perkara baharu tentang kemampanan.

Pemilihan Nabila sebagai jurucakap dianggap tepat kerana keperibadiannya yang dekat dengan anak muda dan keluarga, sejajar dengan nilai yang ingin diketengahkan oleh acara ini. BMC Family 360° menjanjikan sebuah hujung minggu penuh warna-warni yang menggabungkan hiburan, pendidikan dan pengisian bermakna untuk seisi keluarga.
Acara ini akan dimulakan dengan upacara perasmian pada 19 September 2025 jam 3 petang yang turut disertai Nabila Razali. Pada malam 20 September pula, pengunjung berpeluang menyaksikan Persembahan Malam SDG yang mengetengahkan gabungan muzik, budaya dan mesej kemampanan, dengan persembahan khas daripada Nabila sendiri. Selain itu, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai segmen menarik seperti pameran Angkatan Tentera Malaysia, showcase daripada agensi kerajaan, swasta dan NGO yang berteraskan 17 SDG, mini zoo untuk hiburan kanak-kanak, pertandingan melukis dan mewarna, serta pelbagai aktiviti keluarga lain.
Turut disediakan pameran inovasi dan jualan yang melibatkan pendidikan, teknologi, kesihatan, makanan dan gaya hidup lestari. Bagi golongan muda pula, segmen Esports dan ruang permainan interaktif akan menjadi tarikan utama yang boleh dinikmati bersama ibu bapa.
BMC Family 360° dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung dari Kajang, Cheras dan sekitar Lembah Klang. Ia bukan sahaja sebuah acara hiburan keluarga, malah sebuah platform penting untuk menghayati gaya hidup mampan, memperkukuh nilai kekeluargaan dan membina komuniti yang lebih sejahtera.
Dengan semangat kebersamaan dan pengisian yang penuh makna, BMC Family 360° pasti menjadi acara yang dinanti-nantikan. Mari raikan hujung minggu anda bersama keluarga dalam suasana ceria dan berilmu, sambil melangkah ke masa depan yang lebih hijau dan lestari.