Bila si ceria bertemu si tegas, lahirlah cinta tak diduga di hospital. Drama terbaharu slot Akasia bertajuk Hospital Loveline hadir dengan gabungan romantik, komedi dan emosi yang menyentuh hati. Berlatarbelakangkan suasana hospital, drama ini mengisahkan perjalanan cinta Sophia lakonan Scha Elinnea, seorang gadis riang yang setia menjaga neneknya, bersama Dr. Arfan lakonan Syarul Ezani, seorang doktor muda yang hidup penuh disiplin dan ketegasan.
Hospital Loveline diarahkan oleh Ng Ken Kin dan diterbitkan oleh Orangetree Production Sdn Bhd. Drama 13 episod ini membariskan gandingan utama Scha Elinnea dan Syarul Ezani serta diserikan dengan kehadiran pelakon lain seperti Sean Lee, Jaja Iliyes, Hanna Aqeela, Kismah Johar, Dato’ Jalaluddin Hassan dan Apich Lo. Kehadiran barisan pelakon pelbagai generasi menjadikan naskhah ini lebih segar, berwarna dan dekat di hati penonton.
Sophia digambarkan sebagai seorang ahli fisioterapi di Hospital Insani. Walaupun Dr. Arfan sering menjadi perhatian kerana ketampanan dan kewibawaannya, Sophia lebih selesa menumpukan kasih sayang kepada neneknya, Opah Tijah lakonan Kismah Johar. Opah merupakan satu-satunya tempat Sophia bergantung setelah kehilangan ibu dan berpisah dengan ayah yang sudah berkahwin lain. Pertemuan Sophia dan Dr. Arfan bermula dalam satu insiden cemas yang merubah pandangan mereka terhadap satu sama lain.
Di sebalik kisah romantik, drama ini turut menampilkan konflik profesional. Dr. Farhad lakonan Dato’ Jalaluddin Hassan, iaitu ayah kepada Dr. Arfan yang juga pengarah hospital, ditekan oleh adiknya Dr. Malik lakonan Zarul Umbrella kerana gagal menangani isu-isu pengurusan yang semakin meruncing. Pertembungan antara keluarga dan kerjaya ini mewarnai jalan cerita Hospital Loveline dengan dimensi yang lebih mendalam.

Kehidupan Sophia bertambah sibuk apabila kehadiran Opah ke Kuala Lumpur membawa kebahagiaan seketika, namun bertukar cemas apabila Opah tiba-tiba jatuh sakit dan terpaksa dirawat di hospital tempat Sophia bekerja. Secara tidak dijangka, Dr. Arfan ditugaskan menjaga Opah. Dari situ bermula misi penuh manis, lucu dan sarat emosi apabila Opah cuba menyatukan dua hati yang enggan mengaku sedang dilamun cinta. Persoalannya, adakah usaha Opah benar-benar berjaya atau rahsia dan konflik lain bakal menghalang kisah cinta mereka?
Menurut Scha Elinnea, watak Sophia amat dekat dengan dirinya kerana sifat ceria, spontan dan penuh kasih sayang yang ada pada watak tersebut. Beliau turut menegaskan bahawa Hospital Loveline bukan sekadar kisah cinta biasa, sebaliknya sebuah drama yang menggabungkan elemen humor, konflik dan mesej tentang keluarga yang mampu menyentuh hati penonton.
Hospital Loveline dijangka menjadi tontonan wajib buat peminat drama romantik komedi tempatan. Ia bukan sekadar menampilkan kisah cinta yang lahir di balik dinding hospital, tetapi juga sebuah perjalanan penuh pengajaran tentang bagaimana pertemuan tanpa diduga mampu mengubah takdir dan membuka pintu hati.
Drama ini akan mula bersiaran pada 4 September 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam menerusi slot Akasia di TV3. Penonton juga boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai drama ini, penonton boleh mengikuti laman sosial rasmi TV3 iaitu @TV3Malaysia serta Instagram Drama Sangat di @dramasangat.