Sambutan Maulidur Rasul 1447H tahun ini diraikan dengan penuh makna apabila TV3 dan TV9 berganding bahu mempersembahkan rangkaian kandungan ilmiah yang sarat dengan penghayatan rohani. Usaha ini menzahirkan komitmen kedua-dua saluran dalam menyampaikan mesej keilmuan yang berteraskan sunah Rasulullah SAW, sekali gus mendidik masyarakat untuk lebih mendekatkan diri kepada teladan Baginda.
Tanyalah Ustaz menjadi sorotan utama kempen dengan imej baharu melalui episod khas bertajuk “Bertopengkan Sunah.” Episod ini menyingkap isu penyalahgunaan salasilah Rasulullah SAW untuk tujuan kepentingan individu, kelompok dan ideologi tertentu, termasuk manipulasi hadis palsu bagi menghalalkan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Perbincangan yang dijadualkan bersiaran pada 5 September 2025, jam 6.50 pagi di TV3 dan TV9 ini menampilkan Datuk Ustaz Kazim Elias bersama Ustaz Yaakub Yusra sebagai panelis, menjadikan ia sebuah wacana ilmiah yang padat dengan peringatan serta pencerahan.
Mengiringi siaran istimewa ini, TV3 dan TV9 turut menghadirkan pelbagai pengisian rohani sepanjang tempoh sambutan. Antaranya ialah Bacaan Yasin 2025 yang mempertemukan enam qari terkenal, iaitu Da’i Hakim, Da’i Fahmi, Ustaz Fakhrul Radhi, Husaini Mahmuri, Amirahman Abas dan Harith Hakimi. Setiap bacaan diperdengarkan dengan penuh penghayatan dalam lenggok murattal masing-masing, diserikan dengan visual berasaskan kecerdasan buatan yang membantu penonton memahami maksud ayat-ayat suci dengan lebih mendalam.

Sementara itu, Kapsul Rasulullah Cahaya Inspirasi bersiaran dari 2 hingga 7 September 2025 dengan bimbingan Ustaz Muhamad Amin. Siri kapsul berdurasi dua minit ini mengetengahkan empat sifat utama Rasulullah SAW, iaitu Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fathonah, menerusi kisah ringkas yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian. Turut memeriahkan suasana ialah Kapsul Selawat yang menampilkan kumpulan nasyid As-Saif dari SK Telok Pulai, Klang. Persembahan selawat berdurasi dua minit ini bukan sahaja memupuk kecintaan terhadap Rasulullah SAW, malah turut memperlihatkan bakat seni Islam yang mekar dalam kalangan generasi muda.
Tidak ketinggalan, program Tanyalah Ustaz: Diari Muslim turut menemani penonton dari 29 Ogos hingga 20 September 2025 bersama Ustaz Izmir Fareez. Siri ini membawa penonton menelusuri amalan sunah dalam kehidupan seharian yang sering terlepas pandang, antaranya menyambut laungan azan, tahnik dan aqiqah, memberi salam dan izin serta menyelami keberkatan dalam setiap suapan makanan.
Melalui rangkaian siaran berlandaskan ketakwaan ini, TV3 dan TV9 berhasrat agar usaha mereka bukan sahaja memperkukuh ukhuwah dalam kalangan masyarakat, tetapi juga menyalakan rasa cinta mendalam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Untuk mengikuti maklumat terkini serta kandungan eksklusif sepanjang sambutan Maulidur Rasul, penonton boleh melayari media sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram di @TV3Malaysia, manakala kandungan TV9 boleh diikuti melalui @TV9Malaysia dan TikTok @TV9MalaysiaOfficial.