Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kini menjalin kerjasama bersama Neo Gendang Records, gabungan dua ikon rock tanah air, Edrie Hashim dan Kumpulan Candy Malaysia, menerusi kursus APS 5123: Pengurusan Produksi Muzik yang diselia oleh Encik Wan Mohamed Syamil bin Wan Shamsul Anuar. Kerjasama ini juga menandakan pelancaran program jelajah universiti bertajuk “PISTOL & BUNGA” yang akan berlangsung di seluruh universiti Malaysia, dengan ASWARA dipilih sebagai lokasi pertama. Nama program ini melambangkan gabungan tenaga rock dan kehalusan melodi, di mana perkataan Pistol mewakili Edrie Hashim sebagai pengarah muzik, penerbit, penulis lirik, serta pemain gitar kumpulan Wings sejak 2015, manakala Bunga mewakili Candy yang menonjolkan kelembutan dan kecantikan wanita dalam industri rock tempatan sejak 1996.
Edrie Hashim yang terkenal dengan lagu-lagu seperti “Wanita Seluruh Dunia” dan penglibatannya dalam penerbitan album artis ternama termasuk Amy Search, Awie, Ella, Hattan, Siti Sarah, Jaclyn Victor dan ramai lagi, membawa pengalaman lebih tiga dekad dalam industri muzik untuk dikongsi bersama pelajar. Sementara itu, Candy yang dianggotai Patricia Robert, Nancy Graggory, Anis Kalisa dan Bulan Terry, pernah menerima anugerah Most All Female Bands Performing Simultaneously 2023 daripada Malaysia Book of Records dan kini aktif mempromosikan single terbaru mereka berjudul “Setia2u” hasil ciptaan Edrie Hashim di bawah label Neo Gendang Records. Program ini memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali Candy dengan lebih dekat, selain memperkenalkan anggota baru kumpulan tersebut.

Pelajar yang terlibat dalam program ini bukan sahaja berpeluang mempelajari pengurusan produksi muzik secara langsung, tetapi juga dapat merasai pengalaman bekerja dengan artis profesional dalam aspek perancangan dan pengurusan pentas, promosi, pemasaran, serta pengurusan artis. Ujibakat bagi mencari bakat baru dalam kalangan pemain gitar, bass, drum dan keyboard telah diadakan di Studio Rakaman ASWARA, dengan tiga juri terdiri daripada Edrie Hashim, Hafiz Shah dan Reza Mohammad. Pelajar yang berjaya akan membentuk sebuah band dan mengadakan persembahan bersama Edrie Hashim dan Candy pada 20 September 2025 di Orchestra Hall, ASWARA.
Program “PISTOL & BUNGA” bukan sahaja menghargai sumbangan legasi rock Malaysia, tetapi juga memelihara muzik rock dalam kalangan pelajar universiti dan menghidupkan minat generasi muda terhadap industri muzik tempatan. Selain mempromosikan muzik dan instrumen tempatan melalui bengkel dan pameran, program ini turut menyediakan platform kepada pemuzik baru, memperkukuh hubungan strategik fakulti dengan penggiat seni profesional, serta menghasilkan pulangan bukan kewangan dalam bentuk jaringan industri, pendedahan media dan peningkatan reputasi akademik. Jelajah seterusnya akan berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada Januari 2026, dengan perbincangan lanjut bersama Universiti Malaya (UM) dan beberapa universiti lain termasuk UPSI, USM, UKM, UPM, UNIMAS dan UMS. Edrie Hashim dan Candy merakamkan setinggi penghargaan kepada media atas sokongan berterusan terhadap kerjaya seni mereka sepanjang berada dalam industri muzik tanah air.