Malam Merdeka tahun ini diraikan dengan penuh makna apabila kugiran retro moden popular tanah air, MASDO, menutup tirai Ogos dengan konsert ulang tahun mereka yang bersejarah, “Al-Kisah Kugiran MASDO 10 Tahun”, di Zepp Kuala Lumpur. Acara yang dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama Kugiran Masdo itu menjadi perhimpunan penuh warna-warni, mengimbau kembali perjalanan satu dekad kumpulan ini yang penuh kenangan, sambil meraikan semangat kebangsaan bersama ribuan peminat.
Sejak awal persembahan, dewan bergetar dengan sorakan dan tepukan gemuruh. Konsert dimulakan dengan tayangan visual perjalanan MASDO sejak 2015 di layar besar, sebelum mereka membuka tirai dengan lagu “Teruna & Dara” yang disambut dengan nyanyian bersama penonton. Suasana terus hangat dengan deretan lagu kegemaran ramai termasuk “Janji Manis”, “Dinda” dan “Ratu Hati” yang menggamit nostalgia dan emosi setiap yang hadir.
Malam istimewa itu turut diserikan dengan penampilan barisan artis jemputan. Heidi Moru memberi nafas segar kepada “Pujaanku” dengan persembahan bertenaga, manakala Noh Salleh memukau dengan “Inilah Jalannya” sebelum kembali bersama kumpulannya Hujan mendendangkan “Janji Manis” dan lagu ikonik “Aku Scandal” yang membuatkan dewan bergegar dengan sorakan. Persembahan turut diperindah dengan sentuhan Nisa di biola dan Cakam di kibod menerusi “Ratu Hati”, manakala Fizan dari Bittersweet menyentuh hati penonton dengan “Nearly Near You”.
Susunan khas lagu-lagu ikonik MASDO seperti “Bunga” dan “Berduka-Lara” menambah lagi keintiman malam itu. Saat nota terakhir bergema, ribuan peminat mengangkat telefon bimbit mereka, menjadikan dewan seperti lautan bintang yang melambangkan perjalanan sepuluh tahun MASDO serta semangat perayaan Hari Kemerdekaan.

Pengurus MASDO, Cheman, mewakili kumpulan itu menyatakan rasa syukur dan terharu atas sambutan luar biasa peminat. Katanya, malam tersebut bukan hanya untuk kumpulan MASDO tetapi juga untuk seluruh keluarga besar yang membentuk sokongan mereka selama ini. Bagi MASDO, ribuan suara yang menyanyi bersama adalah hadiah terindah sepanjang perjalanan mereka dalam industri muzik.
Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal, turut menyifatkan konsert ini sebagai bukti bahawa muzik retro moden bukan sekadar nostalgia semata-mata, tetapi terus berkembang dan kekal relevan. Menurutnya, MASDO telah mencipta legasi tersendiri yang akan terus dikenang dalam sejarah muzik Malaysia.
“Al-Kisah Kugiran MASDO 10 Tahun” bukan sekadar sebuah konsert, tetapi perayaan persahabatan, muzik, dan kasih sayang yang mengikat MASDO dengan para peminat. Tepat pada malam sambutan Hari Kemerdekaan, acara ini menjadi bukti bahawa selepas sedekad, MASDO masih berdiri teguh sebagai kugiran retro moden nombor satu Malaysia, terus mewarnai industri muzik dengan karya segar dan berpengaruh.