Drama popular Mandul Bukan Pilihan akhirnya menutup tirai dengan tayangan episod terakhir semalam, sekali gus menamatkan perjalanan emosi penonton yang setia mengikutinya sepanjang tujuh minggu bersiaran. Episod terakhir yang ditayangkan itu bukan sahaja menyentuh hati, malah meninggalkan kesan yang mendalam kepada khalayak apabila kebahagiaan yang diimpikan oleh Aldi dan Billa selepas menempuh pelbagai dugaan berakhir dengan pemergian tragis Billa yang meninggalkan Aldi buat selamanya.
Plot yang sarat dengan emosi ibarat sebuah perjalanan “roller coaster” benar-benar menguji perasaan penonton. Ramai yang mengakui tidak mampu menahan air mata tatkala menyaksikan babak-babak terakhir drama ini. Ada juga yang cuba menyembunyikan rasa sebak ketika menonton bersama keluarga, namun tetap tewas kerana kekuatan penceritaan serta lakonan penuh penghayatan oleh dua pelakon utama, Hun Haqeem dan Mira Filzah, yang berjaya menjelmakan kesedihan itu dengan begitu berkesan.
Ternyata drama ini telah meninggalkan impak yang besar di hati penonton. Antara komen yang dikongsikan di media sosial termasuklah rasa puas hati terhadap kualiti produksi, barisan pelakon, serta jalan cerita yang dianggap jauh lebih tinggi daripada standard kebiasaan drama tempatan. Ada yang mengakui Mandul Bukan Pilihan merupakan drama Melayu pertama yang ditonton selepas sekian lama, dan turut meluahkan bahawa air mata mereka mengalir di setiap episod. Ramai juga yang menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi kerana berjaya menyampaikan sebuah karya yang penuh jiwa, emosi dan mesej yang begitu dekat dengan kehidupan sebenar.

Mira Filzah, yang membawakan watak Billa, turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih melalui hantaran di laman sosialnya. Menurutnya, kejayaan drama ini bukanlah hasil kerja seorang individu sahaja, sebaliknya lahir daripada usaha bersama seluruh pasukan produksi yang bekerja keras sepanjang penggambaran. Mira menekankan bahawa walaupun perjalanan itu tidak selalu mudah, mereka berjaya mengharunginya bersama-sama dan membina sesuatu yang membanggakan. Beliau juga menitipkan penghargaan khas buat semua pejuang garis dua, sekali gus menyampaikan mesej yang cukup menyentuh hati kepada penonton melalui sebuah video di Instagram.
Dengan tamatnya Mandul Bukan Pilihan, slot Megadrama di Astro Ria bakal diteruskan dengan drama baharu berjudul Rumah Tanpa Luka. Drama ini akan mula bersiaran pada 1 September, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam, sekali gus membuka lembaran baharu kepada penonton yang sudah pun merasai kehilangan karya yang begitu meninggalkan bekas seperti Mandul Bukan Pilihan.