Thu. Oct 16th, 2025

Fenomena gerhana bulan penuh atau lebih dikenali sebagai Blood Moon yang baru sahaja berlaku seolah-olah memberi isyarat kepada kemunculan sebuah filem seram terbaharu berjudul Qifarah, yang dijadualkan menghantui pawagam seluruh negara pada 9 Oktober ini. Kejadian alam yang memukau itu terjadi apabila bulan kelihatan berwarna kemerahan akibat pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi, sekali gus menarik perhatian peminat astronomi dan orang awam.

Dalam pelbagai budaya dan kepercayaan, fenomena Blood Moon sering dikaitkan dengan unsur mistik, ilmu hitam dan kepercayaan ghaib. Ia dianggap sebagai waktu paling berkuasa untuk melaksanakan ritual menyeru entiti atau mengadakan upacara ghaib. Simbolisme inilah yang diangkat dalam Qifarah, menjadikan fenomena semula jadi ini selari dengan jalan cerita filem yang penuh misteri dan kengerian.

Diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama MyWay Pictures serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, Qifarah tampil bukan sekadar sebagai sebuah karya seram biasa. Filem ini mengisahkan seorang lelaki yang terjerat dalam legasi keluarganya yang mengamalkan ilmu hitam sejak kecil. Ia mengetengahkan mesej tentang akibat menyimpang dari jalan kebenaran dan balasan atau qifarah atas dosa serta amalan syirik yang diwarisi turun-temurun. Persoalan yang mendebarkan menanti penonton, adakah watak utama mampu membebaskan dirinya daripada sumpahan warisan atau akhirnya menjadi korban seterusnya dalam rantaian hitam yang tidak berkesudahan.

Dengan sinematografi yang kelam, suasana suram dan elemen mistik yang menyeramkan, filem ini dijangka memberi impak bukan sahaja dari sudut hiburan tetapi juga kesedaran tentang bahaya ilmu hitam. Lebih menarik, ia diterajui oleh barisan pelakon hebat seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah dan Liyana Jasmay yang bakal menghidupkan kisah ini dengan lakonan penuh intensiti.

Treler rasmi Qifarah dijangka dilancarkan dalam masa terdekat untuk membangkitkan lagi keterujaan penonton sebelum tayangan penuhnya pada 9 Oktober nanti. Untuk mengikuti perkembangan terkini serta kandungan eksklusif mengenai filem ini, orang ramai boleh mendapatkan kemas kini di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube Primeworks Studios.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *