Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) yang dikuasakan oleh Samsung Galaxy A56 dan A36 5G dengan sokongan Kementerian Komunikasi semakin hampir ke malam kemuncaknya. Dalam sidang media yang berlangsung di Premiera Hotel Kuala Lumpur, Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Encik Rosmin Hashim, telah mengumumkan barisan hos, penyampai trofi serta senarai penghibur yang bakal menyerikan acara berprestij itu pada 13 September 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands.
Pasangan pengacara serasi, Sherry Al-Hadad dan Alif Satar sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengemudikan malam penuh gilang-gemilang ini. Pentas AIM24 bakal diserikan dengan persembahan daripada nama-nama besar dan bakat baharu yang sedang meningkat naik, termasuk Ade Govinda, Anggi Marito, Ara Johari, Black Hanifah, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Dolla, Erika Foo, Ernie Zakri, Exists, Intan Maya, KmyKmo, K.O.I, Luka Sikta, Masdo, Ryenald Guntabid, Salammusik, Shila Amzah, Tobii, Uriah See dan Xone. Kehadiran mereka dijangka membawa warna muzik yang pelbagai, daripada pop, balada, etnik hinggalah ke irama kontemporari yang lebih segar.
Barisan penyampai trofi turut mengukuhkan prestij acara ini apabila menampilkan gandingan selebriti popular dan berkarisma seperti Dayah bersama Ts Dr Fitri Haris, Roy dengan Khai Bahar, Mus Barbarik bersama Syafiqah, Joe Barbarik dengan Adira Suhaimi, serta Daiyan Trisha dengan Dr Burn. Turut diumumkan ialah barisan penyampai lain iaitu Bunga, Isaac Voo, Liyana Jasmay, Hafiz Hamidun, Asmidar, Fly Halizor, Ajai, Masdo, Nikki Palikat, AG Coco, Tomok, Siti Nordiana, Dato’ Awie dan Dato’ Nora Ariffin.
Rosmin menjelaskan bahawa pemilihan penghibur, hos dan penyampai trofi dibuat berdasarkan kemampuan mereka dalam mengangkat industri muzik tempatan serta relevan dengan tema AIM24, iaitu “Kemuncak Segala-Galanya”. Sebagai contoh, penglibatan Dolla yang bakal berpadu tenaga bersama bintang hip-hop Thailand, Tobii, menggambarkan pelebaran sayap mereka ke pasaran antarabangsa. Begitu juga dengan persembahan kolaborasi Ernie Zakri bersama Ade Govinda dan Anggi Marito dari Indonesia, yang membuktikan pengaruh muzik rentas sempadan semakin mendapat tempat.

Kemunculan Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, dalam segmen persembahan khas pula diyakini menjadi antara sorotan utama malam tersebut. Tidak ketinggalan, kumpulan Exists yang masih relevan dan terus aktif membuat konsert di dalam serta luar negara turut mempersembahkan aksi istimewa. Malam kemuncak ini juga bakal menjadi pentas penting bagi semua finalis kategori Artis Baru Terbaik, iaitu Erika Foo, Intan Maya, K.O.I, Ryenald Guntabid dan Xone yang akan membuktikan kehebatan mereka di hadapan penonton.
AIM24 bukan sahaja meraikan pencapaian seni muzik tanah air tetapi turut memberi ganjaran lumayan. Pemenang 11 kategori utama bakal membawa pulang dana berjumlah RM700,000 melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) Kementerian Komunikasi dengan kerjasama MyCreative Ventures. Kategori Album Terbaik akan menerima dana RM200,000 manakala 10 kategori lain termasuk Artis Baru Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik masing-masing akan menerima dana RM50,000.
Tahun ini, AIM24 menerima sebanyak 682 pencalonan daripada karya yang diterbitkan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024. Kesemua pencalonan telah dinilai oleh panel juri profesional yang terdiri daripada komposer, penulis lirik, penyanyi, pemuzik, penerbit, jurutera rakaman, pengarah video, pereka grafik dan pakar industri lain. Proses penjurian diketuai oleh pengarah muzik tersohor, Datuk Haji Mokhzani Ismail, selaku Ketua Juri.
Malam kemuncak AIM24 akan berlangsung pada 13 September 2025 bermula jam 9 malam di Arena of Stars, Genting Highlands, dengan siaran langsung menerusi RTM di TV2 dan portal RTM Klik, manakala acara karpet merah bermula jam 8 malam. Sebanyak 30 kategori dipertandingkan secara keseluruhan dengan enam kategori diumumkan pada Majlis Pra-Anugerah sehari sebelum acara utama.
AIM24 sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai platform tertinggi industri muzik tempatan, bukan sahaja meraikan penggiat seni berpengalaman tetapi juga memberi ruang dan pengiktirafan kepada bakat baharu serta menjadikan muzik Malaysia terus bersinar di pentas global.