Dari utara tanah air hingga ke ibu negara, bakat kulinari muda dari Kedah sekali lagi mencuri tumpuan apabila menyerlah di pentas Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® (MSSCC) Ke-28. Mereka membawa keunikan cita rasa serta tradisi utara ke peringkat kebangsaan, sekali gus menonjolkan khazanah warisan makanan sebagai sebahagian daripada identiti Malaysia.
Dengan tema tahun ini, “Ramuan Warisan, Citarasa Negeri”, pertandingan ini menyaksikan penyertaan seramai 866 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun dari 16 negeri. Para peserta diberi cabaran untuk membayangkan semula hidangan kegemaran rakyat dengan suntikan kreativiti masing-masing. Buat pertama kalinya, pertandingan ini diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima, mencerminkan komitmen MAGGI® dalam memberi peluang lebih luas kepada golongan muda untuk mendalami asas makanan sambil memupuk hubungan sihat dengan pemakanan. Pelajar Kedah tampil menyerlah apabila berjaya memikat hati juri dengan resipi yang diinspirasikan daripada ramuan asli, tradisi setempat dan teknik memasak warisan, sekali gus membuktikan kekayaan kulinari serantau mampu mencorakkan masa depan gastronomi negara.
Kerjasama MAGGI® bersama Kementerian Pendidikan Malaysia sejak tahun 1997 terus menjadi wadah penting dalam mendidik generasi muda. Sehingga kini, MSSCC telah memperkasa hampir 350,000 pelajar, bukan sahaja dengan kemahiran memasak asas tetapi juga kemahiran insaniah seperti kerjasama berpasukan, disiplin dan daya kreativiti. Di Kedah, para peserta berkumpul di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Omar, Alor Setar untuk pertandingan peringkat negeri, menjadikannya medan yang melambangkan ketabahan, rasa bangga terhadap budaya serta perkembangan diri mereka.

Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Encik Awang Rosnadi Bin Awang Rosli, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Nestlé Malaysia dan MAGGI® atas penganjuran berterusan program ini. Beliau menekankan bahawa usaha ini bukan sahaja menanamkan tabiat pemakanan seimbang dan masakan sihat, malah turut melatih kemahiran praktikal seperti kreativiti, disiplin, pengurusan masa dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar. Menurut beliau, MSSCC memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka bakat serta potensi dalam bidang kulinari, yang kini semakin diiktiraf sebagai kerjaya bernilai dan berprestij.
Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI® Malaysia dan Singapura, Cik Ivy Tan Link Cheh, pula menegaskan bahawa MSSCC bukan sekadar meraikan kemenangan, sebaliknya platform ini bertujuan memupuk keyakinan, semangat dan kreativiti pelajar untuk berkembang. Menurut beliau, pertandingan ini bukan sekadar mengangkat tukang masak harian tetapi juga mendidik generasi muda agar membina hubungan positif dengan makanan. Beliau turut menambah bahawa MSSCC memberi ruang kepada pelajar untuk menghargai warisan masing-masing, meraikan kepelbagaian budaya makanan dari seluruh negeri dan bersatu melalui keenakan masakan.
Di peringkat negeri Kedah, juri menobatkan pasangan Aidil Zikry Bin Mohd Noor Izhham dan Nur Syifa Syadrina Binti Mohamad Azam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri sebagai wakil negeri ke peringkat akhir kebangsaan. Hidangan mereka, Nasi Cubit Cubit dan Ikan Pekasam Sambal Kantan Nenas, mengetengahkan keunikan ikan pekasam sebagai simbol masakan warisan utara. Para finalis lain juga menampilkan kreativiti tersendiri, daripada penggunaan bahan tempatan secara mampan hingga ke gabungan resipi keluarga tradisi dengan teknik masakan moden yang lebih inovatif.

Aidil Zikry dan Nur Syifa Syadrina meluahkan rasa teruja kerana dapat mengolah resipi tradisi dengan kaedah baharu tanpa mengorbankan keaslian cita rasa. Mereka berkongsi bahawa perjalanan sepanjang pertandingan sangat bermakna, bukan sahaja kerana berpeluang menonjolkan bakat individu, malah dapat bertemu rakan sebaya yang berkongsi minat sama. Hidangan yang diinspirasikan daripada konsep “Suku, Suku, Separuh” membolehkan mereka bereksperimen dengan teknik baharu sambil memastikan penyediaan makanan kekal pantas, lazat dan seimbang. Mereka turut mengakui bahawa dorongan guru serta ibu bapa menjadi kekuatan utama untuk terus melangkah ke hadapan.
Juara MSSCC 2024, Muhammad Ammaruddin bin Jasni dan Aidil Zikry bin Mohd Noor Izhham, turut memberi kata semangat kepada peserta tahun ini. Mereka menekankan bahawa kemenangan bukanlah semata-mata matlamat utama, sebaliknya pertandingan ini adalah peluang untuk meneroka potensi diri, memperkaya ilmu, serta memahami nilai pemakanan seimbang dalam kehidupan seharian. Mereka juga menyeru cef muda agar tidak takut berkongsi cerita melalui hidangan kerana makanan adalah bahasa yang menyatukan semua budaya.
Grand Finale MSSCC 2025 bakal berlangsung pada bulan Oktober dengan menyaksikan 16 pasukan dari seluruh negara berentap untuk merebut gelaran juara kebangsaan. Pertandingan ini terus menjadi lambang usaha berterusan dalam memupuk generasi muda yang bukan sahaja bijak menyusun rasa, tetapi juga mampu mengangkat warisan makanan Malaysia ke persada dunia.