Thu. Oct 16th, 2025

Hello Bam Bam muncul sebagai sebuah drama TikTok yang melangkaui sekadar hiburan ringan, sebaliknya membawa mesej besar tentang kesedaran mental, trauma kanak-kanak, serta kehidupan insan terpinggir dalam masyarakat moden. Drama ini lahir daripada idea asal dan karya Amy Mazurah dengan kerjasama MFI Group, menjadikannya sebuah inisiatif seni yang berfungsi sebagai medium CSR bagi mengangkat suara mereka yang sering terpinggir dan terabai. Dengan mesej utama “Hidup Itu Struggle… Tapi Kami Tak Give Up!”, drama ini mendekatkan penonton khususnya golongan remaja dengan realiti tekanan hidup, isu buli, krisis identiti, cubaan bunuh diri, dan kezaliman sosial yang semakin menular.

Keunikan Hello Bam Bam bukan sahaja terletak pada jalan ceritanya yang penuh konflik emosi, tetapi juga kerana ia menampilkan elemen interaktif di mana penonton diberi kuasa untuk memilih pengakhiran cerita, sama ada berakhir dengan kegembiraan atau kesedihan. Inovasi ini menjadikannya lebih dekat dengan generasi muda yang terbiasa dengan interaktiviti di platform digital. Lebih daripada itu, drama ini turut membuka ruang kolaborasi bersama pempengaruh, artis tempatan, penaja serta rakan strategik untuk sama-sama menyuarakan isu kesihatan mental melalui medium TikTok yang kini menjadi antara platform paling dominan dalam kehidupan masyarakat. Projek ini turut mendapat sokongan Tourism Johor serta beberapa penaja utama seperti Win Win Food Industries, Presgo Gateways, Tiger Base Camp, Berjaya Waterfront Hotel, Majalah Santai Travel dan Restoran Kopihut.

Selain menyentuh hati melalui naratif dramatis, Hello Bam Bam turut memperkayakan jiwa penonton dengan kehadiran lagu tema berjudul “Luahan” yang didendangkan oleh penyanyi 90-an, Ady Wow. Lagu ini menjadi nadi emosi drama, membalut kisah trauma dan harapan dengan alunan muzik yang menyentuh jiwa.

Dari segi penceritaan, Hello Bam Bam mengisahkan perjalanan hidup Awin, seorang khunsa yang sejak kecil menderita akibat dera dan buli di rumah anak yatim. Hidupnya berubah apabila diselamatkan oleh Deddy, seorang pendandan rambut flamboyan yang menjadi cahaya harapan untuknya bermula semula. Awin kemudian dipertemukan dengan Jojo, seorang tomboy yang lantang tetapi menyimpan luka batin yang dalam, sebelum mereka bersama-sama menemukan Bam Bam, seorang kanak-kanak terbiar yang hampir menjadi mangsa eksploitasi ayah kandungnya sendiri. Dari situlah bermula kisah perjuangan tiga jiwa yang terpinggir, namun berusaha melawan kehidupan dengan kasih sayang.

Dalam kesempitan hidup bandar, Awin dan Jojo memilih untuk menjadi ibu dan ayah kepada Bam Bam meskipun berdepan pelbagai cabaran. Trauma lama, ancaman dendam musuh, tekanan ekonomi dan kezaliman sosial menjadi ujian besar dalam kehidupan mereka. Namun semangat tidak menyerah, sokongan sahabat, serta kekuatan kasih sayang menjadikan mereka berani bangkit untuk terus melangkah.

Hello Bam Bam adalah refleksi realiti yang tidak semua insan beruntung dalam perjalanan hidupnya. Ia mengingatkan penonton bahawa kasih sayang, meskipun datang daripada insan yang tidak sempurna, mampu menyembuhkan luka dan memberi harapan baru. Lebih daripada sekadar drama, ia adalah satu gerakan kesedaran sosial yang mendidik penonton tentang pentingnya empati, sokongan dan kepercayaan bahawa setiap jiwa berhak mendapat peluang untuk hidup dengan penuh harga diri.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *