Sun. Oct 19th, 2025

GGR Motor terus melakar sejarah apabila usaha syarikat itu untuk menjadi pengeluar motosikal elektrik pertama di Malaysia menerima sokongan penuh daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan. Lawatan kerja yang diketuai Timbalan Pengarah JPJ WP, Eric Jusiang bersama 25 anggota lain ke kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala pada Khamis lalu membuka ruang lebih luas kepada kerjasama strategik antara industri automotif tempatan dan pihak berkuasa.

Lawatan itu bertujuan memberi pendedahan lebih dekat kepada pegawai JPJ mengenai proses pemasangan motosikal elektrik selain meninjau operasi kilang yang menjadi pusat pengeluaran model pertama GGR Motor, Lion G1. Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi menegaskan bahawa kunjungan tersebut menjadi titik permulaan penting bagi memastikan setiap aspek pengeluaran motosikal elektrik tempatan menepati piawaian serta garis panduan ditetapkan kerajaan. Beliau turut menyifatkan lawatan itu sebagai penghargaan besar terhadap usaha syarikat membangunkan mobiliti hijau di negara ini.

Kedatangan delegasi JPJ Wilayah Persekutuan turut disambut mesra oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail. Sepanjang sesi lawatan, tetamu berpeluang mengikuti taklimat operasi, menyaksikan proses pemasangan Lion G1 secara langsung serta melawat bahagian lain termasuk pusat jualan aksesori, bengkel servis dan operasi syarikat yang dibangunkan bagi menyokong keseluruhan ekosistem kenderaan elektrik.

Eric Jusiang (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail (tengah) diiringi Muhammad Mussaddiq (kiri).

Menurut Mussaddiq, motosikal elektrik Lion G1 kini sudah boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September lalu. Lebih 6,000 unit tempahan dijangka akan diserahkan kepada pemilik dalam tempoh terdekat sekali gus membuktikan sambutan luar biasa rakyat terhadap mobiliti mesra alam ini. Beliau menambah, kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung akan dibangunkan sebagai hab pengeluaran utama bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, selain mencipta lebih 50 peluang pekerjaan baharu khusus dalam bidang teknologi hijau.

Lion G1 yang dibangunkan hasil penyelidikan tempatan dengan reka bentuk khusus untuk pasaran Malaysia telah mencatatkan lebih 2,500 unit tempahan hanya dalam tempoh seminggu selepas pelancaran. Model itu tampil sebagai pilihan mampu milik dengan kualiti setanding produk antarabangsa, sekali gus mengukuhkan keyakinan pengguna terhadap keupayaan pengeluar tempatan.

Dengan sokongan berterusan kerajaan melalui pelbagai insentif serta dasar pembangunan industri EV, GGR Motor yakin dapat merealisasikan sasaran menghasilkan 30,000 unit motosikal elektrik menjelang akhir 2025. Kerjasama strategik bersama rakan industri seperti PMH Motor, Bateriku.com, MARA dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia akan memperkukuh lagi rangkaian latihan teknikal, penyelenggaraan dan rantaian bekalan.

Usaha ini menandakan langkah besar bukan sahaja bagi GGR Motor, tetapi juga untuk Malaysia yang sedang menuju ke arah menjadi hab utama pengeluaran motosikal elektrik di rantau ASEAN.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *