Kehangatan semangat warga Bumi Kenyalang sekali lagi terbukti apabila Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak menutup tirainya dengan penuh meriah selepas berlangsung selama tiga hari di Dataran Perayaan Petra Jaya dari 5 hingga 7 September 2025. Kehadiran ratusan ribu pengunjung bukan sahaja menzahirkan sokongan padu masyarakat, malah mengukuhkan kedudukan KJH sebagai karnival keluarga paling dinanti di Malaysia.
Lebih daripada sekadar karnival, KJH kali ini berjaya menjadi ruang pertemuan pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira budaya, generasi, etnik dan kaum. Suasana yang penuh warna-warni diperkaya dengan pelbagai aktiviti interaktif, pameran unik serta hiburan mesra keluarga, menjadikannya sebuah pengalaman yang menyeronokkan, mendidik dan menyatukan.
KJH Sarawak turut menerima suntikan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) yang menjadikan karnival ini lebih istimewa. Kehadiran YB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah selaku Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bersama Datuk Mohd Efendi Omar, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia pada hari pertama penganjuran menyerikan lagi majlis. Kerjasama erat bersama pelbagai agensi di bawah MTCP termasuk Jabatan Muzium, Lembaga Pelancongan Sarawak, Majlis Seni Sarawak, BeSarawak, Majlis Kraf Sarawak serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak membuka ruang kepada pengunjung untuk mengenali lebih dekat keunikan budaya, warisan dan destinasi pelancongan negeri ini.
Berlangsung bersempena sambutan Maulidur Rasul 1447H, malam pembukaan karnival diserikan dengan program kerohanian “Sembang Santai” di pentas utama. Sesi ini menekankan keperibadian Rasulullah SAW sebagai teladan ummah, dikendalikan oleh Ts. Syahrul Nizam Junaini dari Universiti Malaysia Sarawak bersama panel jemputan termasuk Ustaz Haji Mual Haji Suaud yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak.
Sepanjang tiga hari penganjuran, lebih 100 reruai dibuka kepada pengunjung yang menawarkan pelbagai aktiviti mencakupi aspek hiburan, gaya hidup, kesihatan dan sukan. Antara tarikan utama termasuk sesi Zumba, bola sepak jalanan, NSTP Car Sim Experience, Spin Fighters Challenge, Pencarian Emcee Cilik, sukan memanah serta pemeriksaan kesihatan gigi dan saringan kanser serviks secara percuma. Keseluruhannya, suasana karnival menjanjikan pengalaman lengkap yang sesuai untuk seisi keluarga.

KJH Sarawak turut mencatat impak ekonomi yang besar dengan nilai melebihi RM15 juta dalam tempoh tiga hari penganjuran. Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai tawaran eksklusif, hadiah menarik serta produk edisi terhad daripada pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa seperti F&N, Kewpie, Affin Bank, Szindore Perfume, SUPER dan Zus Coffee.
Studio Tonton Drama Sangat turut menjadi tumpuan apabila para peminat berpeluang bertemu lebih dekat dengan personaliti Media Prima termasuk Mior Abdul Malik, Naz Habibur Rahman, Farah Nabilah Wazer, Fatin Hamimah, Asri Badrun, Fadzly Fuad, Barr Zaizan dan Syamira Nazir. Kehadiran pelakon drama popular seperti Wanie Ooi, Mark Adam, Ezzanie Jasny, Apich Lo dan Jazmy Juma menambahkan lagi keceriaan, manakala penampilan maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia menyerikan suasana, terutama buat kanak-kanak.
Pertandingan Ratu Etnik Drama Sangat turut mencuri tumpuan apabila Axiomara Tijan Andy yang berusia 19 tahun dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000. Naib juara dimenangi Puteri Maishara Binti Mohsen, 20 tahun, yang menerima hadiah RM700, manakala tempat ketiga disandang Falesyia Anak Harry, 19 tahun, dengan ganjaran RM500.
Kemeriahan karnival mencapai kemuncaknya dengan Konsert Jom Heboh yang dibawakan oleh U Mobile selama dua malam berturut-turut. Pada 6 September, pentas digegarkan oleh persembahan artis terkenal seperti Lan Solo, Marsha Milan, Ara Johari, Haiza dan Datuk Aishah. Malam berikutnya pula dimeriahkan dengan lantunan suara hebat daripada Floor 88, Wany Hasrita, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Amir Jahari. Walaupun hujan turun pada malam pertama, semangat penonton tetap membara dengan ramai yang sanggup menunggu seawal jam 4 petang demi mendapatkan tempat terbaik untuk menyaksikan persembahan artis kesayangan mereka.
Dengan kejayaan luar biasa di Sarawak, karnival ini bakal diteruskan ke destinasi seterusnya di Pulau Pinang untuk menghidupkan lagi semangat keriangan dan kebersamaan bersama warga utara tanah air. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi www.jomheboh.com.my serta platform media sosial @jomhebohofficial di Facebook dan Instagram. Orang ramai juga digalakkan untuk berkongsi detik kenangan mereka sepanjang karnival dengan tanda pagar rasmi Jom Heboh.