TV3 dan Alternate Records terus membuktikan kehebatan karya tempatan apabila berjaya membawa pulang dua anugerah berprestij di pentas antarabangsa, ContentAsia Awards 2025 yang berlangsung di Taipei pada 4 September lalu. Kejayaan ini mengangkat martabat industri muzik kreatif dan kandungan Malaysia, sekali gus menempatkan nama negara sebaris dengan pemain industri besar dari seluruh Asia.
Lagu “Hening Rindu” nyanyian Marsha Milan yang menjadi runut bunyi drama popular Aku Bukan Ustazah di Slot Akasia TV3 diumumkan sebagai pemenang Gold Award bagi kategori Best Sound Design Created in Asia for an Asian TV Programme/Series. Karya ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dengan lirik oleh Ikhwan Fatanna ini diiktiraf kerana keunikan susunan muziknya yang menyentuh jiwa serta padanannya yang sempurna dengan jalan cerita drama. Pengiktirafan ini sekali gus menjadikan “Hening Rindu” sebuah karya bertaraf antarabangsa selepas sebelum ini muncul juara di Anugerah Juara Lagu ke-39.
Anugerah ini disampaikan kepada Puan Shahila Shah, Pengurus Besar Kanan, Filem, Muzik dan Produksi Dalaman, Media Prima Television Networks. Menurut beliau, kemenangan tersebut membuktikan karya Malaysia mampu bersaing di peringkat serantau. Beliau menegaskan kejayaan ini adalah hasil dedikasi dan semangat karyawan tempatan yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada penonton, selain menunjukkan bagaimana muzik boleh memperkukuhkan penceritaan dalam sesebuah drama.

Selain kemenangan emas itu, TV3 turut menerima Silver Award menerusi program dokumentari “Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1” yang meraih pengiktirafan dalam kategori Best Current Affairs Programme Made in Asia for a Single Market in Asia. Dokumentari penuh emosi ini membongkar tragedi menyayat hati yang menimpa Allahyarham Zulfarhan, seorang pelajar universiti yang menjadi mangsa kejam rakan-rakannya. Kisah ini bukan sekadar paparan kes mahkamah, tetapi menjadi pengajaran besar mengenai persahabatan, amanah dan pengkhianatan yang meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat.
Penerbit Eksekutifnya, Ahmad Farith Zahir, menjelaskan bahawa penceritaan dua episod khas ini bertujuan untuk membuka ruang perbincangan yang lebih luas tentang isu buli dan penderaan yang masih berakar dalam masyarakat. Menurutnya, mesej yang ingin disampaikan jelas iaitu tragedi seumpama ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia mampu meragut masa depan generasi muda.
Dengan kejayaan merangkul Gold dan Silver Award di ContentAsia Awards 2025, TV3 dan Alternate Records sekali lagi mengangkat nama Malaysia di mata dunia. Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan mutu karya tempatan setanding dengan produksi antarabangsa, malah memberikan inspirasi untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran global.