Thu. Oct 16th, 2025

Sekolah Menengah Setiabudi, Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai juara DIY Made Simple 2025, sebuah pertandingan tahunan peringkat kebangsaan yang bertujuan untuk memupuk inovasi dan kelestarian dalam kalangan pelajar Malaysia. Pasukan empat orang pelajar sekolah tersebut berjaya menarik perhatian para juri dengan projek inovatif mereka, Huzz Buzz iaitu ekojubin yang mampu menangkap tenaga kinetik daripada langkah kaki untuk menjana serta menyimpan elektrik. Tenaga yang dihasilkan boleh digunakan bagi menghidupkan peranti kecil, menambah baik kemudahan sekolah dan menggalakkan amalan mesra alam.

Dalam edisi kesembilan tahun ini, Sekolah Menengah Setiabudi berjaya mengatasi 273 penyertaan daripada 116 sekolah di seluruh negara pada acara Grand Finale dan Majlis Penyampaian Hadiah yang berlangsung di Kuala Lumpur. Pertandingan ini dianjurkan oleh Yayasan MR DIY, cabang kebajikan syarikat peruncit barangan kelengkapan rumah terbesar di Malaysia, MR DIY Group (M) Berhad. Ia dijalankan dengan kerjasama Pusat Penglibatan Komuniti Universiti Malaya (UMCares) serta Fakulti Alam Bina UM dengan sokongan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan.

Bertemakan Waste to Energy: Innovate for a Greener Future, pertandingan kali ini memberi peluang kepada pelajar untuk mempersembahkan penyelesaian praktikal dalam menukar sisa pepejal kepada sumber tenaga boleh guna. Antara contoh projek yang diketengahkan termasuk panel solar daripada e-sisa, penjana elektrik menggunakan plastik terbuang, lampu LED berkuasa bio-bateri, turbin air mini, bateri berasaskan sisa logam dan penghasilan hidrogen daripada air buangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR DIY, Zaleha Mohd Mydin dalam ucapannya menegaskan bahawa pertandingan ini bukan sekadar pertandingan tetapi platform yang membekalkan kemahiran dunia sebenar dan menginspirasi generasi muda Malaysia untuk membentuk masa depan lestari. Katanya, sembilan tahun penganjuran telah membuktikan bahawa pendidikan, kreativiti dan inovasi bergerak seiring dan kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan universiti, kementerian, guru, ibu bapa dan terutama sekali pelajar.

Sementara itu, Pengarah UMCares, Profesor Madya ChM Dr. Noraini Ahmad menekankan pentingnya kerjasama jangka panjang antara universiti, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta sektor korporat. Beliau menyifatkan DIY Made Simple sebagai bukti kejayaan usaha bersama yang membawa hasil luar biasa. Katanya lagi, setiap tahun pertandingan ini terus melahirkan idea-idea segar yang semakin berkualiti dan menambah nilai kepada masyarakat sekali gus meninggalkan legasi positif untuk generasi akan datang.

Selain Setiabudi yang membawa pulang hadiah wang tunai RM4000, sekolah-sekolah lain turut diraikan di pentas akhir. SMK St Mary, Papar, Sabah memenangi tempat kedua dengan hadiah RM3000, diikuti SMK Tamparuli, Sabah di tempat ketiga dengan RM2000. Tempat keempat dimenangi SMK Puteri Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan RM1000 manakala tempat kelima menjadi milik SMK Shahbandaraya, Klang dengan RM500. Semua lima pasukan teratas turut menerima baucar tunai MR DIY, sijil penghargaan dan trofi.

Dalam kategori khas, pasukan Kruss Synergy dari SMK Krubong, Melaka meraih dua pengiktirafan serentak iaitu Video Paling Disukai di YouTube dan Video Paling Menarik di TikTok, masing-masing dengan hadiah wang tunai RM500. Beberapa sekolah lain turut menerima Anugerah Inspirasi berbentuk baucar, sijil dan trofi sebagai penghargaan terhadap usaha mereka.

Pertandingan ini juga mengiktiraf jabatan pendidikan negeri dengan penyertaan paling tinggi di mana Selangor muncul di tempat pertama diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Sabah dan Sarawak. Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, DIY Made Simple telah melibatkan lebih 8000 pelajar daripada 715 sekolah di seluruh Malaysia dengan lebih 5000 projek dikemukakan. Pertandingan ini terus menjadi wadah penting dalam memupuk semangat inovasi, kerja berpasukan serta kemahiran menyelesaikan masalah sambil memperjuangkan agenda kelestarian negara.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *