NEX & Fattah Amin Lancar Kempen Solidariti “NEX & Fattah Amin Bersama Palestin”. NEX bersama duta selebritinya, Fattah Amin, dengan penuh rendah hati telah melancarkan kempen solidariti khas bertajuk “NEX & Fattah Amin Bersama Palestin” di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Kempen ini bukan sekadar sebuah inisiatif kutipan dana, tetapi satu gerakan untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui tindakan kecil yang mampu membawa impak besar. Dengan hanya membeli sebotol air NEX, pengguna berpeluang menyalurkan harapan dan sokongan kepada rakyat Palestin yang sedang berdepan krisis kemanusiaan.
Kempen ini akan digerakkan pada 17 Oktober 2025 dengan misi mencabar rakyat Malaysia membeli 500,000 botol NEX dalam tempoh 24 jam. Bagi setiap botol yang dibeli, RM0.50 akan disumbangkan, dengan sasaran kutipan kolektif sebanyak RM250,000. Dana yang terkumpul akan disalurkan terus ke Gaza melalui rakan kerjasama kemanusiaan, Cinta Gaza Malaysia (CGM). Inisiatif ini turut terinspirasi daripada tindakan rakyat Mesir yang baru-baru ini menghantar botol berisi makanan ke Gaza melalui laut, menjadikan botol sebagai simbol bekalan dan harapan.

Pemilihan bulan Oktober juga membawa makna mendalam, bertepatan dengan peringatan tragedi 7 Oktober 2023. NEX berharap kempen ini dapat mengubah tarikh penuh duka itu menjadi hari penuh solidariti, doa, dan harapan bersama. “Ini bukan sekadar tentang sebuah jenama; ini tentang menggunakan platform kami untuk menyatukan rakyat Malaysia demi tujuan yang lebih besar. Kami berharap setiap hirupan membawa doa, setiap pembelian menyampaikan harapan,” ujar Fattah Amin ketika berucap di majlis pelancaran.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Imam Muda Asyraf yang menyatakan, “Pada hari Jumaat yang mulia itu nanti, kita bukan sahaja berkumpul untuk beribadah, tetapi juga untuk tujuan bersama. Amalan kecil seperti membeli sebotol air boleh menjadi sadaqah jariah; pahala berpanjangan yang memberi kelegaan kepada saudara kita di Palestin.”

Kempen bertemakan “Satu Hari, Satu Misi, 17.10.25” ini akan menampilkan Botol Edisi Terhad NEX yang boleh diperoleh melalui TikTok Shop serta di 500 masjid seluruh negara. Fattah Amin dan Imam Muda Asyraf juga akan membuat penampilan khas di beberapa masjid terpilih sekitar Lembah Klang. NEX menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama menjadikan setiap botol sebagai titisan kasih sayang yang membentuk lautan harapan. Pada 17 Oktober 2025, sertailah usaha bermakna ini dengan membeli Botol Edisi Terhad NEX, dan bersama-sama kita kirimkan bantuan, doa, dan semangat solidariti kepada rakyat Palestin.