Kajian Dedah Masalah Kalis Air Ancaman Paling Kritikal dalam Penyelenggaraan Bangunan di Malaysia. Nippon Paint bersama Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM) baru-baru ini menjalankan satu kajian komprehensif bagi meneliti tahap penyelenggaraan bangunan di Malaysia serta cabaran yang dihadapi para profesional hartanah. Hasil kajian tersebut mendedahkan bahawa sektor hartanah tempatan masih terperangkap dalam budaya penyelenggaraan reaktif, dengan isu kalis air muncul sebagai masalah paling kritikal yang berpotensi menjejaskan integriti struktur bangunan dalam jangka panjang dan merendahkan nilai aset.
Presiden MIPFM, Haji Ishak bin Ismail, menjelaskan bahawa dapatan ini memberi gambaran jelas tentang cabaran sistemik dalam industri. “Apa yang menggalakkan ialah, dengan mengenal pasti masalah lebih awal, kita boleh bekerjasama dengan pengawal selia, pemilik bangunan dan penyedia penyelesaian untuk memperkukuh piawaian serta meningkatkan daya tahan aset,” katanya. Beliau menekankan bahawa pendekatan penyelenggaraan secara proaktif bukan sahaja menguntungkan bangunan, malah juga memberi nilai tambah kepada pemilik, pelabur dan penyewa.
Kajian yang dijalankan pada Ogos 2025 ini melibatkan pandangan daripada pengurus bangunan, pengurus harta, arkitek dan pengurus fasiliti yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan hartanah kediaman serta komersial di seluruh negara. Lebih 40% responden mengakui mereka hanya melakukan pemeriksaan bangunan sekali setahun, manakala satu daripada enam melakukannya setiap suku tahun. Corak penyelenggaraan sebegini membuka ruang kepada kerosakan yang tidak dikesan sehingga menimbulkan kebocoran serius, sekali gus meningkatkan kos pembaikan.
Isu kalis air dikenal pasti sebagai masalah paling berulang dengan 90% responden melaporkan kebocoran bumbung, 90% lagi berdepan resapan air pada dinding, manakala 70% menekankan kebocoran di bilik air, dapur dan ruang basah. Lebih membimbangkan, sebahagian besar profesional menangguhkan kerja pembaikan kalis air kerana kekangan kos, walaupun penangguhan ini hanya mempercepatkan kerosakan dan meningkatkan risiko kewangan serta keselamatan.
Encik Tay Sze Tuck, Pengurus Besar Nippon Paint Malaysia, menegaskan bahawa kegagalan kalis air bukanlah isu kosmetik semata-mata. “Menangani masalah lebih awal membantu menjamin keselamatan, mengawal kos dan mengekalkan nilai aset. Untuk kekal berdaya saing, Malaysia mesti bergerak daripada pembaikan jangka pendek kepada perlindungan pencegahan,” ujarnya.
Kajian turut menyerlahkan rasa kurang puas hati terhadap vendor penyelenggaraan sedia ada, dengan dua pertiga responden hanya menilai tahap kepuasan mereka pada tahap sederhana. Kekurangan keyakinan ini menunjukkan keperluan mendesak terhadap piawaian industri yang lebih tinggi serta penyelesaian jangka panjang yang boleh dipercayai.
Seiring dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pelaburan dan pembangunan lestari serantau, daya tahan persekitaran binaan semakin diberi perhatian. Amalan penyelenggaraan usang, ditambah dengan kekangan dana, mendedahkan risiko tersembunyi yang boleh menjejaskan kemajuan industri hartanah. Menyedari cabaran ini, Nippon Paint memperkukuh ekosistem ubah suai tempatan melalui platform Total Coating & Construction Solutions (TCCS) yang mengintegrasikan sistem kalis air dan cat semula, direka khusus untuk iklim Malaysia.
Dengan pengalaman lebih 50 tahun di pasaran tempatan, Nippon Paint menawarkan rangkaian teknologi kalis air moden seperti membran cecair (NippoSEAL), membran helaian (NippoGARD) dan membran simen (NippoCEM). Penyelesaian ini menyediakan perlindungan menyeluruh terhadap kebocoran, melanjutkan jangka hayat bangunan serta melindungi nilai hartanah dalam jangka panjang.